Mangsa banjir terus meningkat kepada 690 orang Di Terengganu

Mangsa banjir terus meningkat kepada 690 orang Di Terengganu

KUALA TERENGGANU,. Kemaman menjadi daerah terbaharu dilanda banjir di Terengganu menyaksikan jumlah mangsa banjir terus bertambah kepada 690 orang daripada 184 keluarga setakat 8 pagi ini berbanding 389 orang (94 keluarga) malam tadi.

Ketika ini, terdapat 23 pusat pemindahan sementara (PPS) beroperasi di seluruh negeri dengan Dungun merekodkan jumlah PPS paling banyak iaitu di tujuh lokasi menempatkan 131 mangsa daripada 34 keluarga berbanding 69 orang (17 keluarga) di empat PPS sebelum ini.

Ketua Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Terengganu, Lt Kol (PA) Che Adam A Rahman berkata di Setiu, dua lagi PPS dibuka menjadikan jumlah PPS beroperasi ketika ini di enam lokasi menempatkan 125 mangsa banjir (40 keluarga) berbanding 69 mangsa banjir (17 keluarga) di empat PPS malam tadi.

“Terdapat sedikit peningkatan jumlah mangsa banjir di Kuala Nerus iaitu 206 orang (52 keluarga) berbanding 156 orang (32 keluarga) sebelum ini dan jumlah PPS beroperasi kekal sama iaitu di empat lokasi.

“Begitu juga di Kuala Terengganu, jumlah mangsa meningkat sedikit kepada 101 orang (27 keluarga) berbanding 53 orang (18 keluarga) malam tadi dan jumlah PPS kekal sama di dua lokasi,” katanya kepada pemberita hari ini.

Di Marang, jumlah mangsa juga meningkat kepada 90 orang (21 keluarga) pagi ini berbanding 33 orang (tujuh keluarga) malam tadi yang ditempatkan di tiga PPS.

Che Adam berkata jumlah PPS di Besut juga kekal satu dengan jumlah mangsa 10 orang (lima keluarga) manakala di Kemaman, hanya satu PPS beroperasi menempatkan 27 orang (lima keluarga) setakat ini.

“Data terbaharu ini menunjukkan semua daerah di Terengganu dilanda banjir kecuali Hulu Terengganu. Namun, penduduk di daerah itu tetap perlu berwaspada dengan perubahan cuaca semasa,” katanya.

Selain itu, data disediakan Jabatan Pengairan dan Saliran menunjukkan stesen bacaan Sungai Setiu di Jambatan Permaisuri mencatat ketinggian air 9.33 meter (m) mengatasi paras bahaya 8.80 m manakala Sungai Nerus di Kampung Langkap pula menunjukkan bacaan 20.98 m melebihi paras amaran 20 m.

Tiga sungai lain di Kemaman, Hulu Terengganu dan Marang pula sudah melepasi paras berjaga-jaga.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This