Mangsa kemalangan maut Jalan Keramat Pulai-Cameron Highlands dikenal pasti

IPOH,. Semua mangsa kemalangan di Kilometer 5, Jalan Keramat Pulai-Cameron Highlands, yang membabitkan tujuh maut dan tiga cedera, telah dikenal pasti.

Ketua Polis Daerah Ipoh ACP A Asmadi Abdul Aziz berkata, mangsa yang meninggal dunia ialah pemandu Perodua Alza, Mohd Zairul Mat Isa, 34 tahun, ibunya, Fatimah Mat Isa, 68 tahun, isterinya, Nuratiqah Abd Hamid, 30 tahun, dan anak mereka, Nur Qaseh Damia, 4 tahun.

Tiga lagi yang meninggal dunia ialah Zulkifli Suib, 49 tahun, isterinya, Hasliza Mahmud, 40 tahun, dan anak mereka, Mohd Alif Firdaus, 3 tahun.

Tiga yang cedera pula ialah anak Mohd Zairul, Muhammad Haziq Zikri, 9 tahun, dan dua anak Hasliza, Firash Mikhael Azrie Syah, 11 tahun, dan seorang lagi hanya dikenali sebagai Apit, 16 tahun.

Asmadi berkata, pihaknya menerima maklumat daripada orang awam mengenai kemalangan itu kira-kira jam 6.05 petang.

Menurutnya, siasatan awal mendapati, Perodua Alza yang dalam perjalanan dari Cameron Highlands ke Simpang Pulai hilang kawalan lalu masuk ke laluan bertentangan dan bertembung dengan treler.

“Kenderaan itu kemudian terbalik, menyebabkan kesemua mangsa terperangkap di dalamnya,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Menurutnya, proses bedah siasat dilakukan di Hospital Raja Permaisuri Bainun di sini, hari ini.

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )