MAPIM Sabah sambut baik PENJANA diumumkan PM

MAPIM Sabah sambut baik PENJANA diumumkan PM

SANDAKAN,. Mimbar Permuafakatan Ibubapa Malaysia (MAPIM) Negeri Sabah amat menyambut baik usaha dan inisiatif kerajaan dalam Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (PENJANA) yang diumumkan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Yang Dipertua MAPIM Negeri Sabah Haji Otoh Sibik Haji Sahak berkata, pelaksanaan PENJANA dilihat boleh dan mampu meringankan beban dan masalah usahawan Small Medium Enterprise (SME) dan seterusnya dapat mengimbangi dan mengekalkan kestabilan operasi di seluruh negara.

“Ini sekaligus dapat mensejahterakan semua lapisan masyarakat tanpa mengira latar belakang faham politik, bangsa dan agama,” katanya.

Beliau yang juga Naib Presiden Bapa MAPIM Kebangsaan berkata, Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang bermula 18 Mac lalu telah banyak meninggalkan kesan dan merencatkan pelbagai aktiviti sosial, ekonomi dan juga pendidikan.

“Aktiviti penjualan dan perniagaan turut terkesan khasnya kepada usahawan mikro, Industri Kecil dan Sederhana (IKS) serta aktiviti koperasi dan lain-lain serta industri pelancongan juga turut terjejas,” katanya.

Otoh Sibik berkata sebanyak RM35 billion peruntukan yang salurkan dibawah pelan berstruktur ini.

“Hampir RM14 billion lebih akan memberi manfaat bukan sahaja kepada usahawan dalam pelbagai sektor ekonomi malah ianya juga turut dinikmati oleh sebilangan besar Rakyat Malaysia secara amnya,” katanya.

Beliau menganggap inisiatif kerajaan amat tepat pada waktunya dalam rangka usaha memulihkan dan menjana semula ekonomi negara yang benar-benar terkesan akibat penularan pandemik COVID-19.

“PENJANA telah menyenarai 40 inisiatif dibawah tiga teras iaitu memperkasakan rakyat, melonjakkan perniagaan dan merangsangkan ekonomi negara.

Pada masa yang sama, Otoh Sibik berkata Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) telah diganti dengan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) yang dikuat kuasakan mulai 10 Jun.

“MAPIM Negeri Sabah amat menyokong langkah-langkah pencegahan dan garis panduan yang telah dikeluarkan oleh kerajaan seperti perjalanan rentas negeri telah dibenarkan mulai 10 Jun kecuali melibat kawasan-kawasan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD),” katanya.

Beliau berkata semua aktiviti komersial bukan dalam premis niaga dibenarkan meliputi dobi layan diri, pengambaran filem, mesyuarat yang mematuhi SOP PKPP.

“Sukan dan rekreasi juga dibenarkan kecuali membabitkan pertandingan aktiviti sukan yang melibatkan sentuhan badan.

“Perhimpunan di stadium masih dilarang termasuk sukan renang tidak dibenarkan,” katanya kepada Utusan Borneo.

Otoh Sibik berkata pelancongan domestik dibenarkan semula namun sempadan negara masih ditutup.

“Sekolah akan dibuka secara berperingkat dan ibadah korban dibenarkan semasa sambutan Hari Raya Aidiladha 1441H,” katanya.

Secara dasarnya, beliau berkata MAPIM Negeri Sabah amat menyokong langkah-langkah dan arahan PKPP ini dilaksanakan oleh Kerajaan Malaysia dibawah pentadbiran Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Otoh Sibik turut mengucapkan syabas dan tahniah kepada semua petugas barisan hadapan (frontliner) COVID-19 serta semua yang terlibat secara langsung dan tidak langsung dalam menangani penularan pandemik COVID-19.

CATEGORIES
TAGS
Share This