
Maradona potong gaji bantu Gimnasia La Plata
BUENOS AIRES,. Lagenda bola sepak Argentina, Diego Maradona menawarkan potongan gaji bagi membantu Gimnasia La Plata menangani krisis COVDI-19, lapor agensi berita Xinhua memetik kenyataan presiden kelab itu.
Saingan liga divisyen utama kini digantung akibat ancaman wabak itu, mencetuskan kebimbangan terhadap kesan ekonomi ke atas kelab.
Maradona, yang masih mempunyai baki kontrak empat bulan sebagai ketua jurulatih Gimnasia, mengemukakan cadangan itu kepada pegawai kelab menerusi pasukan pengurusannya pada Khamis.
“Menerusi pembantunya kami menerima panggilan. Beliau berkata, jika dirasakan perlu mengurangkan gajinya, beliau sedia membantu,” kata presiden kelab, Gabriel Pellegrino kepada Cielo Sports.
“Kata-kata itu jelas menggambarkan ia datang daripada seorang yang tidak memikirkan wang dan menunjukkan betapa beliau ingin membantu Gimnasia berdepan dengan keadaan ini,” katanya.
Tawaran yang dibuat Maradona adalah sehari selepas rakannya, Lionel Messi, berkata beliau dan rakan sepasukan di FC Barcelona mengurangkan gaji mereka sehingga 70 peratus bagi memastikan semua pekerja kelab Sepanyol itu mendapat gaji ketika saingan dihentikan.
Skuad Atletico Madrid dan Bayern Munich turut bersetuju memotong gaji bagi membantu kelab masing-masing.
Gimnasia ketika ini bergelut mengelak terhumban ke kancah divisyen dua liga Argentina.
Pellegrimo berkata, pegawai kelab belum lagi berunding dengan Maradona mengenai hasrat untuk menyambung kontrak bekas bintang berusia 59 tahun itu sehingga Ogos 2022.
— BERNAMA