MARGMA gesa pengimport sarung tangan global berwaspada dengan penipuan

MARGMA gesa pengimport sarung tangan global berwaspada dengan penipuan

KUALA LUMPUR,. Pengimport sarung tangan getah perlu berwaspada dengan mana-mana pihak yang mendakwa menawarkan sejumlah sarung tangan perubatan pada harga yang tidak masuk akal semasa tempoh sukar penularan pandemik COVID-19 ketika ini.

Presiden Persatuan Pengeluar Sarung Tangan Getah Malaysia (MARGMA) Denis Low berkata pembeli digalakkan untuk memeriksa dengan pengeluar secara terus ataupun menghubungi MARGMA kerana persatuan itu baru-baru ini menerima beberapa laporan daripada ahli-ahlinya yang menemui ejen palsu yang mendakwa mewakili syarikat mereka masing-masing bagi bekalan sarung tangan.

“Sebilangan ahli melaporkan surat syarikat palsu dikeluarkan untuk melantik ejen palsu manakala yang lain dibangkitkan oleh pelanggan kerana harga sebut harga melonjak tinggi dan janji garis masa penghantaran dipendekkan.

“Memandangkan permintaan sarung tangan global terus meningkat disebabkan oleh pandemik itu, penipuan muncul dengan berleluasa dan menjejaskan penjual sebenar dan juga pembeli dalam industri,” katanya dalam satu kenyataan.

MARGMA menggesa pembeli di pasaran tempatan dan antarabangsa agar tidak terpedaya dengan penipuan seumpama itu dan mereka digalakkan untuk memeriksa di laman web MARGMA http://www.margma.com.my/ordinary members/ bagi memastikan mereka berurusan dengan pengeluar tulen atau menghantar e-mel ke [email protected] sekiranya ada sebarang keraguan.

Sementara itu, MARGMA memberi jaminan bahawa industri tersebut sedang melakukan yang terbaik untuk menampung permintaan global bagi bekalan sarung tangan perubatan.

“Pemain industri juga bekerja dalam garis panduan operasi baharu dan mematuhi pematuhan sosial yang ketat mengikut Kod Tata Laku Industri bagi Pematuhan Sosial untuk tadbir urus yang baik bagi tenaga kerjanya dan alam sekitar.

“Keselamatan dan kebajikan pekerja dipantau dengan ketat bagi memastikan persekitaran kerja yang kondusif dan bermanfaat bagi kesemua pekerja dalam industri,” kata Low.

Pada suku pertama 2020, eksport sarung tangan berjumlah kira-kira 53 bilion pasang.

Bagi 2020, MARGMA mengunjurkan penggunaan dunia mencecah 330 bilion pasang sarung tangan dan Malaysia dijangka menyediakan kira-kira 220 bilion pasang.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This