Maritim Malaysia tahan tiga lelaki cuba seludup 1.3 tan daun ketum

Maritim Malaysia tahan tiga lelaki cuba seludup 1.3 tan daun ketum

ALOR SETAR,. Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) Zon Maritim Kuala Kedah, berjaya mematahkan cubaan menyeludup 1.3 tan daun ketum dan menahan tiga lelaki, semalam.

Pengarah Zon Maritim Kuala Kedah Komander Maritim Noor Azreyanti Ishak berkata ketiga-tiga lelaki yang berumur antara 33 hingga 39 tahun itu, ditahan di kedudukan 1.0 batu nautika barat muara Kuala Kedah pada pukul 2.30 pagi.

“Tangkapan dibuat hasil maklumat risikan berkaitan sebuah bot nelayan tempatan kelas A, yang disyaki menjalankan aktiviti penyeludupan sedang bergerak keluar menuju muara Kuala Kedah.

“Bot berkenaan berjaya dikesan pada pukul 2.20 pagi dan sedang bergerak dalam keadaan bergelap. Sebaik menyedari kehadiran pihak berkuasa, suspek cuba melarikan diri dengan memecut bot itu namun berjaya dipintas oleh bot ronda Maritim Malaysia,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Noor Azreyanti berkata pihaknya menemui 130 bungkusan plastik berwarna hitam yang disyaki mengandungi daun ketum seberat 1.3 tan dengan anggaran nilai RM234,000.

“Siasatan awal mendapati, kesemua suspek warga tempatan itu tinggal di kawasan berdekatan dan menerima upah sebanyak RM200 seorang bagi satu perjalanan penghantaran ketum berkenaan.

“Daun ketum itu dipercayai diseludup keluar ke negara jiran melalui jalan laut, berikutan ia telah dikeluarkan daripada senarai dadah berbahaya di negara jiran dan mendapat permintaan tinggi. Harga jualan juga jauh lebih tinggi berbanding di dalam negara, yang dijual dengan harga RM30 sekilogram,” katanya.

Beliau berkata kesemua suspek bersama barang rampasan dibawa ke Jeti Zon Maritim Kuala Kedah dan kes disiasat di bawah Seksyen 30(3) Akta Racun 1952.

Menurutnya kes tersebut merupakan tangkapan kedua yang melibatkan warga tempatan dan rampasan keenam bagi Zon Maritim Kuala Kedah setakat ini.

Katanya, pihak Maritim Malaysia mengalu-alukan sebarang aduan mengenai sebarang aktiviti jenayah atau kecemasan di laut yang boleh disalurkan di talian kecemasan 24 jam MERS 999 atau Pusat Operasi Maritim Malaysia Zon Maritim Kuala Kedah di 04-7310579.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This