Masih ada pesakit tidak jujur di ETD, beri risiko berganda COVID-19

Masih ada pesakit tidak jujur di ETD, beri risiko berganda COVID-19

PUTRAJAYA,. Meskipun sudah lebih setahun negara berjuang memerangi wabak COVID-19, namun kesedaran masyarakat tentang bahaya penyakit ini masih belum dapat mengubah tingkah laku dan tindakan dalam menghadapi virus maut itu.

Ini dapat dilihat apabila masih ada yang tidak jujur dengan status kesihatan mereka yang terdedah atau menjadi kontak rapat pesakit COVID-19 ketika hadir untuk menerima rawatan di Jabatan Kecemasan dan Trauma (ETD).

Perkara tersebut dikongsikan Pakar Perubatan Kecemasan dan Ketua Jabatan Perubatan Kecemasan Hospital Putrajaya Dr Khairul Nizam Hassan apabila tindakan tersebut telah membawa kesan buruk bukan sahaja kepada petugas kesihatan di ETD tetapi juga kepada orang lain yang menerima rawatan.

“Tidak jujur itu masih berlaku sehingga kini dan tidak tahu apa sebab mereka bertindak demikian. Bila seseorang tidak berkata benar, kita merekod mereka sebagai tidak bergejala dan tiada kontak, yang akan disalurkan ke satu tempat bersama-sama dengan pesakit lain yang tiada kaitan langsung dengan COVID-19.

“Ini mendedahkan virus itu kepada orang lain terutama golongan lanjut usia dan mereka yang berisiko hanya disebabkan sikap mendiamkan maklumat yang benar tersebut. Jadi…boleh nampakkan kesannya bagaimana?” katanya kepada Bernama baru-baru ini.

ADVERTISEMENT

Bagi mengurangkan risiko jangkitan, Hospital Putrajaya terpaksa membuat pengasingan pesakit yang mempunyai masalah pernafasan bagi mengelakkan jangkitan silang.

Jelas Dr Khairul, sejak hospital itu beroperasi sebagai hospital hibrid COVID-19 April tahun ini, terdapat peningkatan antara 40 hingga 60 peratus kemasukan pesakit jangkitan pernafasan akut teruk (SARI) dan kes positif COVID-19 di ETD.

Ada kes positif COVID-19 yang terpaksa kita rujuk ke Hospital Sungai Buloh atas keperluan untuk katil di Unit Rawatan Rapi (ICU), katanya.

Justeru, bagi mengurangkan kesesakan di ETD serta risiko jangkitan, operasi di ETD kini dalam percubaan dengan mengubah suai waktu kedatangan pesakit untuk memastikan pesakit tidak kritikal tidak datang serentak dengan pesakit kritikal.

“Sistem baharu ini sedang dalam tempoh percubaan bermula minggu ini sebelum dilaksanakan sepenuhnya nanti kerana kami berpendapat ada ruang untuk mengawal pesakit daripada berkumpul di ETD dengan sistem rawatan waktu berperingkat bagi mengurangkan kesesakan.

“Kita masih dalam proses melihat sistem ini secara berperingkat dan berharap dengan kepakaran dan sumber tenaga yang ada akan dapat melaksanakan perkara ini untuk kebaikan pesakit supaya kehadiran mereka lebih terancang,” katanya.

Dr Khairul mengakui emosi para petugas turut terjejas semenjak mengendalikan situasi COVID-19 di hospital namun tugas dan tanggungjawab yang dipikul masih dapat dilaksanakan dengan baik melalui kerjasama Kementerian Kesihatan (KKM) melalui perkhidmatan psikologi dan kaunseling bagi menangani stres.

Usaha ini sangat penting untuk memastikan bukan sahaja keadaan fizikal petugas dalam keadaan terbaik tetapi juga kesediaan mental dan emosi.

Justeru, Dr Khairul berharap masyarakat dapat memahami peranan petugas kesihatan dengan sentiasa mengikut prosedur operasi standard (SOP) dan nasihat kesihatan seperti memakai pelitup muka, kerap mencuci tangan, elak tempat sesak dan aktiviti perkumpulan yang dilihat sangat relevan dalam usaha membendung penularan wabak ini.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This