
Masih ramai kurang peka dengan kepentingan melakukan pemeriksaan, saringan kesihatan
SARIKEI: Masih ramai masyarakat yang kurang peka dengan kepentingan melakukan pemeriksaan dan saringan kesihatan, kata Senator Roderick Wong Siew Lead. Katanya, masyarakat terutama dari kawasan luar bandar perlu diberikan penerangan dan infomasi yang lebih terperinci lagi berkaitan kepentingan ini terutama yang berkaitan dengan penyakit tidak berjangkit (NCD).
“Dewasa ini, masalah penyakit tidak berjangkit semakin membimbangkan dan jumlah yang berhadapan dengan NCD ini turut menunjukkan peningkatan dari semasa ke semasa.
“Justeru, kita ingin terus memberikan kesedaran kepada masyarakat agar sentiasa melakukan pemeriksaan kesihatan masing-masing agar masalah NCD dapat diatasai dan dicegah dengan awal sebelum ia menjadi lebih serius,” kata Roderick.
Beliau berkata demikian pada Program Saringan Kesihatan Peka B40 yang dianjurkan oleh pusat khidmatnya di Klinik Dr Wong dekat sini, hari ini.
Program itu telah bermula jam 8 pagi dan berakhir jam 11 pagi di klinik terbabit.
Menurut Roderick, program tersebut bertujuan memenuhi keperluan penjagaan kesihatan golongan berpendapatan rendah dengan memberi tumpuan kepada NCD.
“Hasil pemantauan, kita juga mendapati orang ramai masih kurang kesedaran mengenai Program Saringan Kesihatan Peka 40 malah tidak tahu mereka adalah penerima manfaat program tersebut.
“Dengan kesempatan ini, kita ingin memaklumkan bahawa pendaftaran tidak diperlukan bagi program saringan kesihatan ini, orang awam boleh melayari laman sesawang PEKA B40 untuk menyemak kelayakan dan jika mereka layak, mereka boleh datang ke klinik yang mempunyai logo PEKA B40 untuk mendapat saringan kesihatan secara percuma,” tegas Roderick.
Sementara itu mengulas berkaitan pembukaan kaunter MySalam dalam program yang sama, Roderick berkata, pihaknya telah menerima banyak pertanyaan daripada orang awam berkaitan program tersebut.
Salah satunya kata Roderick, ialah berkaitan skim perlindungan MySalam.
“Skim perlindungan masyarakat mySalam adalah inisiatif kerajaan yang bertujuan menyediakan perlindungan kesihatan takaful percuma kepada golongan B40 dengan penerima STR.
“Orang ramai yang memerlukan bantuan ini, boleh menyemak kelayakan dengan melayari laman sesawang mySalam, jika layak, pihak yang menuntut mesti menyediakan dokumen yang disahkan oleh doktor hospital kerajaan dan dokumen yang berkaitan untuk diserahkan atau mereka boleh mendapatkan bantuan daripada pusat khidmat saya.
“Faedah ini dapat mengurangkan beban perubatan golongan berpendapatan rendah,” kata Roderick lagi.
-Agensi