Masuk Sarawak tak perlu ujian COVID-19
KUCHING: Semua warganegara Malaysia dan bukan warganegara yang memasuki Sarawak dari Semenanjung Malaysia, Sabah dan Labuan tidak lagi perlu menjalani ujian COVID-19 rT-PCR tiga hari sebelum pergi ke negeri ini.
Timbalan Ketua Menteri Datuk Amar Douglas Uggah Embas (gambar) yang berkata demikian, menambah kelonggaran itu berkuatkuasa mulai 22 Mac ini.
“Mereka masih perlu mengisi secara Online ‘EnterSarawak’ dengan dokumen sokongan yang diperlukan. Dan kuarantin 14 hari di Sarawak masih lagi berkuatkuasa bagi mereka yang memasuki negeri ini,” katanya pada sidang media harian COVID-19 di sini,hari ini.
Uggah menambah, keputusan itu dibuat setelah menilai situasi COVID-19 di Semenanjung, Sabah dan Labuan yang nampaknya terkawal. Mengenai status pendaftaran program vaksinasi, beliau memberitahu, sejumlah 1,223,080 individu telah mendaftar bagi Program Vaksinasi COVID-19 di seluruh Sarawak setakat 17 Mac tahun ini.
Daripada jumlah tersebut, katanya, seramai 788,012 individu telah mendaftar melalui pejabat Residen Bahagian dan seramai 435,068 individu telah mendaftar melalui aplikasi MySejahtera. “Di Sarawak kita mensasarkan jumlah yang layak menerima vaksin adalah 2.2 juta oran dan ini bermakna hanya lebih 50 peratus telah mendaftar untuk mendapatkan suntikan ini.
“Kita harap rakyat Sarawak yang layak yang belum berdaftar untuk berbuat sedemikian sama i sama ada melalui pejabat daerah, pusat klinik di Sarawak atau aplikasi MySejahtera,” katanya.
Adalah penting untuk mendaftarkan diri supaya kita dapat merancang bagaimana untuk melaksanakan suntikan vaksin yang akan dibuat nanti, tambah beliau.
-UtusanBorneo