MASwings tawar kempen promosi ‘Jom Balik Mengundi’
KUCHING,. Susulan Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) akan datang, MASwings menawarkan kempen promosi ‘Jom Balik Mengundi’ daripada RM135 untuk tambang sehala.
MASwings dalam kenyataannya berkata, tempahan boleh dibuat mulai hari ini hingga 30 November 2022 dan sesuai untuk perjalanan sehingga 31 Disember 2022.
Katanya, MASwings juga akan melancarkan penerbangan tambahan untuk menampung lonjakan permintaan yang dijangka ke beberapa laluan dalam Sabah, Sarawak dan Labuan.
“Akan ada penambahan daripada 21 kali mingguan kepada 28 kali penerbangan mingguan untuk Miri – Labuan, Miri-Sibu, Kota Kinabalu-Lahad Datu dan Kota Kinabalu-Labuan dari 18 hingga 21 November 2022.
“Bagi Kuching-Limbang, operasi semasa MASwings pada hari Isnin, Khamis dan Sabtu akan dinaikkan kepada dua kali penerbangan setiap hari pada 18 dan 20 November,” katanya hari ini.
Sementara itu, Ketua Pegawai Operasi MASwings Kapten Nasaruddin A. Bakar berkata, pihaknya komited untuk menyediakan pengangkutan udara yang selamat dan boleh dipercayai bagi menyokong dan menampung penerbangan semasa PRU15 ini.
Sehubungan itu, beliau menggesa pengundi tempatan pulang ke kampung halaman bagi membolehkan mereka memenuhi hak sebagai warganegara Malaysia.
“Kami menggalakkan semua pengundi dan pelanggan membuat tempahan awal bagi mengelakkan kekecewaan dan terlepas tawaran tambang penerbangan di MASwings,” katanya.
Untuk maklumat lanjut, pelanggan dinasihati untuk melayari laman web rasmi MASwings di: www.maswings.com.my /www.malaysiaairlines.com.