Masyarakat Orang Asli tidak harus tercicir menerima vaksin – Zahidi Zainul

Masyarakat Orang Asli tidak harus tercicir menerima vaksin – Zahidi Zainul

TANJUNG MALIM,. Masyarakat Orang Asli di kawasan pedalaman tidak harus tercicir dalam mendapatkan vaksin COVID-19, kata Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia Malaysia Datuk Zahidi Zainul Abidin.

Beliau berkata kekurangan fasiliti seperti capaian Internet di kawasan tempat tinggal bukanlah satu alasan bahawa masyarakat Orang Asli dipinggirkan daripada menerima vaksin, dan pihak berkepentingan perlu turun padang mendekati golongan itu.

“Kementerian Komunikasi dan Multimedia Malaysia (KKMM) tidak mahu masyarakat Orang Asli ketinggalan dalam urusan pendaftaran untuk mendapatkan vaksin biarpun tidak mudah untuk mendapatkan perkhidmatan Internet.

“Walaupun kurang capaian Internet, pihak kementerian bersama Kementerian Kesihatan Malaysia dan Jabatan Penerangan secara bersepadu mendaftarkan mereka secara manual untuk mendapatkan vaksin. Kita tidak mahu di saat masyarakat lain menerima vaksin, mereka (Orang Asli) tertinggal,” katanya.

Beliau berkata demikian pada pemberita selepas merasmikan program Malaysia Prihatin Imunisasi COVID-19 bersama penyelaras pasukan khas bagi masyarakat Orang Asli negeri Perak di Kampung Sungai Teras di Slim River di sini semalam.

Zahidi berkata justeru, Program Malaysia Prihatin Imunisasi COVID-19 di kawasan Orang Asli akan dipertingkatkan KKMM bersama dengan Jabatan Kemajuan Orang Asli (JAKOA) bagi mengalakkan golongan itu mendaftar untuk mendapatkan vaksin COVID-19.

Menurutnya ini kerana sambutan daripada masyarakat Orang Asli pada program berkenaan ketika ini kurang memberangsangkan malah golongan itu seperti takut untuk mendapatkan vaksin.

“Sambutan memang kuranglah dari masyarakat Orang Asli sehingga ada yang lari masuk hutan bila buat program, mereka tidak mahu bersama (semasa) program ini (dijalankan).

Sementara itu, Tok Batin (ketua) Kampung Sungai Teras, Kuluh Bahrin Teh, 63, berkata program Malaysia Prihatin Imunisasi COVID-19 di kampung itu sangat baik memandangkan kebanyakan penduduk tidak mempunyai akses internet untuk mendaftar bagi mendapatkan vaksin berkenaan.

“Memang sebelum ini ada yang takut tetapi selepas pihak kerajaan masuk buat program ini dan beri penerangan, mereka mula sedar dan mahu daftar untuk dapatkan vaksin. Lebih mudah sebab hanya perlu isi borang secara manual,” tambahnya.

Semenatara itu di Melaka, dua sekolah rendah di negeri ini ditutup tiga hari susulan terdapat warga sekolah dan murid dikesan positif COVID-19 iaitu di Sekolah Kebangsaan (SK) Jeram dan SK Pengkalan Balak membabitkan Kluster Jalan Kenanga.

Exco Kesihatan dan Antidadah negeri Datuk Rahmad Mariman berkata SK Jeram merekodkan empat kes membabitkan guru dan kakitangan manakala SK Pengkalan Balak pula melibatkan tiga guru dan tiga murid.

“SK Jeram ditutup bermula semalam hingga esok manakala SK Pengkalan Balak pula bermula esok hingga Jumaat ini,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Rahmad berkata penularan COVID-19 turut dikesan di Kolej Universiti Islam Melaka (KUIM) melibatkan dua kes di bawah kluster sama dalam kalangan kakitangannya namun, institusi pendidikan berkenaan tidak ditutup.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )