
MATRADE mahu perluas skop geran pembangunan pasaran
KUALA LUMPUR, 21 Mei — Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) bercadang memperluas skop Geran Pembangunan Pasaran (MDG) agar seiring dengan trend dan keperluan semasa.
Pengarah Bahagian Transformasi dan Perdagangan Digital MATRADE, Noraslan Hadi Abdul Kadir berkata, cadangan itu bertujuan membantu pengeksport Malaysia menghadapi cabaran global terutama semasa pandemik COVID-19, contohnya, membantu mereka untuk menjalankan perniagaan secara dalam talian.
Beliau berkata untuk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) terus berdaya saing, mereka perlu meningkatkan eksport masing-masing.
Justeru menerusi cadangan ini, kemungkinan untuk mereka menuju atau kekal di peringkat global dalam keadaan penularan wabak pada masa sekarang akan terjamin, katanya.
“MDG diuruskan pleh MATRADE, dan kami mahu mencadangkan ia diperluaskan supaya pengeksport dapat dibantu menerusi geran ini,” katanya semasa Sidang Kemuncak Penjual Dalam Talian Malaysia Alibaba.com hari ini.
Semasa penguatkuasaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dari 18 Mac hingga hari ini, MATRADE telah meluluskan geran bernilai RM7.33 juta untuk pengeksport Malaysia, mengadakan 297 pertemuan perniagaan kepada perniagaan (B2B) secara maya selain jalinan libat urus di antara pengeksport Malaysia dengan pembeli asing.
Sementara itu, Ketua Alibaba.com bagi Asia Pasifik, Stephen Kuo Yiling berkata kesan daripada pandemik COVID-19 menjadikan peniagaan di seluruh dunia perlu memikirkan semula keutamaan perniagaan masing-masing, berinovasi dan mengubah kedudukan mereka.
Beliau berkata perniagaan Malaysia berada di kedudukan unik untuk mencatatkan pemulihan lebih pantas dengan memanfaatkan peluang rentas sempadan susulan infrastruktur yang ada di negara ini, termasuk Hab Platform Perdagangan Dunia Elektronik (eWTP) milik Alibaba Group yang pertama di China.
Sejak pelancaran eWTP di Malaysia pada 2017, Kuo berkata Alibaba Group telah menjadi rakan kongsi erat agensi kerajaan dan perniagaan tempatan, bekerjasama untuk memperkenalkan produk Malaysia kepada pengguna China dan pembeli borong dari seluruh dunia melalui platformnya seperti Tmall Global dan Alibaba.com.
“Alibaba.com menyokong pembekal Malaysia menembusi peringkat global dan kami berharap dapat membantu secara bermakna dalam fasa pemulihan penting ini selain memberi keyakinan dan keupayaan yang tepat untuk perniagaan di sini mencapainya,” katanya.
Pengarah Jualan dan Pemasaran TRL South East Asia Sdn Bhd, Adrian Yoong pula berkata Alibaba.com adalah platform untuk transformasi digital mencapai pasaran yang lebih luas.
“Sebagai antara platform B2B terbesar, Alibaba.com membantu syarikat kami untuk meningkatkan penjualan serta jenama menjadi lebih dikenali selain menawarkan penyelesaian sehenti kepada penjual,” katanya.
— BERNAMA