MATTA: Wujudkan pasport vaksin ASEAN bagi pulihkan industri pelancongan

MATTA: Wujudkan pasport vaksin ASEAN bagi pulihkan industri pelancongan

KUALA LUMPUR,. Persatuan Ejen-Ejen Pelancongan dan Pengembaraan Malaysia (MATTA), mencadangkan kepada kerajaan negara-negara ASEAN untuk mewujudkan Sijil Digital COVID-19 ASEAN, sebagai persediaan untuk pembukaan semula sempadan di rantau ini.

MATTA membawakan cadangan bagaimana kerajaan negara-negara ASEAN, dapat mengadakan protokol pasport vaksin yang diterima secara meluas, disebabkan kebanyakan negara ASEAN kini mempercepatkan program imunisasi kebangsaan mereka, membolehkan sempadan antarabangsa dibuka tidak lama lagi, seperti dijangkakan.

Presiden MATTA Datuk Tan Kok Liang berkata, satu set prosedur operasi standard (SOP) yang seragam perlu diadakan, bagi mengelakkan kekeliruan dalam kalangan negara ASEAN.

Beliau berkata, negara-negara ASEAN seharusnya menimbangkan pas lawatan IATA dan pasport vaksin WHO, untuk membolehkan perjalanan antarabangsa bersama dengan Sijil Digital COVID-19 ASEAN, ke arah kerjasama oleh kerajaan-kerajaan ASEAN.

Beliau menjelaskan bahawa memiliki sijil ini akan menjadi satu penyelesaian yang praktikal, dalam melihat risiko status penumpang sebelum perjalanan, termasuk memberikan keyakinan kepada pengembara untuk perjalanan yang selamat.

“Secara idealnya, Sijil Digital COVID-19 ASEAN, akan memberikan maklumat bukti vaksinasi, untuk menunjukkan jika seseorang itu mempunyai keputusan ujian SARS-COV-2 yang negatif, ataupun telah pulih daripada COVID-19,” katanya.

MATTA mencadangkan proses verifikasi ‘sehenti’ sebelum waktu berlepas, melibatkan koordinasi antara pihak berkuasa, lapangan terbang dan syarikat penerbangan, bagi mengelakkan duplikasi.

Datuk Tan berkata, negara-negara ASEAN seharusnya memastikan yang verifikasi dijalankan seawal mungkin dan sebaiknya sebelum pengembara itu tiba di lapangan terbang, bagi memastikan pergerakan yang lancar bagi kesemua pihak yang terlibat.

Beliau berkata, negara-negara ASEAN perlu secara agresifnya menampilkan Sijil Digital COVID-19 ASEAN, bagi memastikan mereka tidak ketinggalan.

Akhirnya, beliau berkata, Sijil Digital COVID-19 itu akan dapat membantu mereka yang kehidupan mereka bergantung kepada industri pelancongan di negara-negara ASEAN dan perjalanan antara ASEAN itu penting, dan tidak boleh bergantung kepada perjalanan jarak jauh dan gelembung pelancongan, untuk memulihkan semula ekonomi industri pelancongan rantau ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )