Maxis ambil alih MyKRIS Asia pada nilai sehingga RM157.5 juta

Maxis ambil alih MyKRIS Asia pada nilai sehingga RM157.5 juta

KUALA LUMPUR,. Maxis Bhd (Maxis) telah mengambil alih penyedia perkhidmatan internet berkelajuan tinggi, MyKRIS Asia Sdn Bhd pada harga bernilai sehingga RM157.5 juta.

Dalam kenyataannya kepada Bursa Malaysia semalam, Maxis berkata pengambilalihan itu sebahagian besarnya meliputi penambahan kumpulan pakar seramai 70 jurutera dan pasukan sokongan yang berkelayakan.

Menurutnya, ini sekali gus dapat membantu meningkatkan lagi kemampuan yang diterajui oleh Maxis Programmable Network selain menjadi asas persiapan untuk 5G masa depan dari aspek rangkaian persendirian sehingga meliputi Akses Tetap Tanpa Wayar 5G.

Usaha pengambilalihan MyKRIS Asia dijangka selesai menjelang suku pertama 2022, tertakluk kepada memenuhi terma perjanjian yang dipersetujui sebelumnya, termasuk kelulusan para pemegang sahamnya.

MyKRIS Asia adalah anak syarikat MyKRIS International Bhd sebuah syarikat pegangan yang disenaraikan di pasaran Bursa LEAP.

Ketua Pegawai Eksekutif Maxis, Gokhan Ogut menyifatkan pengambilalihan itu dapat memperkukuh kedudukan syarikat berkenaan sebagai penyedia penyelesaian konvergen terkemuka di Malaysia.

“Lebih penting lagi, ini memaparkan komitmen kami untuk melabur dalam negara serta menyokong ekonomi digital selain membolehkan perniagaan sentiasa di hadapan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pegawai Perniagaan Perusahaan Maxis, Paul McManus berkata perkhidmatan rangkaian dan keselamatan yang terurus merupakan komponen penting bagi strategi transformasi digital.

“Susulan kehadiran MyKRIS Asia, kami menyasarkan untuk memperluas penyelesaian rangkaian dan kemampuan teknikal yang berteraskan Maxis Programmable Network kami yang terbaik dalam kelasnya,” katanya.

Langkah pengambilalihan terbaharu membabitkan MyKRIS Asia itu menyusuli beberapa usaha seumpamanya oleh Maxis sejak dua tahun lepas, termasuk Infrastructure Consulting & Managed Services Sdn Bhd (ICMS), Peering One Sdn Bhd yang melibatkan perkhidmatan awan profesional dan terurus secara menyeluruh serta Audeonet (M) Sdn Bhd merangkumi penyelesaian penyatuan suara dan komunikasi.

– BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )