Maxis melabur untuk salinghubungan internet yang lebih baik di Malaysia Timur
KUCHING,. Maxis, syarikat telekomunikasi pertama membina seni bina rangkaian Teras Serantau di Kuching dan Kota Kinabalu dengan salinghubungan kandungan antarabangsa secara langsung.
Menurut kenyataan dikeluarkan Maxis pada Isnin, rangkaian Teras Serantau itu akan membolehkan kapasiti trafik pengguna mudah alih yang lebih besar di wilayah ini.
Selain memberikan pengalaman pengguna yang lebih baik dengan kelajuan lebih tinggi dan kependaman (interrupt Latency) lebih rendah, terutamanya untuk aktiviti berkaitan video.
Sebelum ini, pelayan teras di pusat data Lembah Klang Maxis memberi perkhidmatan kepada pengguna internet mudah alih di seluruh negara tetapi jarak Sabah dan Sarawak dari Lembah Klang menambah kependaman kepada pengalaman pengguna di kedua-dua negeri tersebut.
Maxis menambah, rangkaian teras ialah bahagian tengah rangkaian mudah alih keseluruhan yang membolehkan pelanggan mendapat akses kepada perkhidmatan mereka perlukan.
Ia bertanggungjawab untuk fungsi kritikal seperti pengesahan perkhidmatan dan pemindahan perkhidmatan Internet pada kelajuan tinggi ke dan dari serata dunia.
Purata penggunaan data mudah alih bulanan pengguna Maxis di Sabah dan Sarawak, lebih tinggi daripada purata nasional, iaitu 32GB setiap pengguna dan pertumbuhan yang konsisten suku ke suku tahun.
“Teras serantau baharu kami ialah pelaburan penting untuk meningkatkan pengalaman Internet pelanggan kami dan akan memenuhi volum data yang tinggi serta pertumbuhan yang dijangkakan. Kami gembira melihat hasil prestasi rangkaian terkemuka industri daripada pelayan baharu ini,” kata Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Maxis, Goh Seow Eng,
Sepanjang tempoh penilaian selama tiga bulan, pelayan teras yang baharu dilancarkan di Kuching dan Kota Kinabalu menghasilkan peningkatan ketara pada kependaman internet serta kelajuan keseluruhan pengguna di kedua-dua negeri, terutamanya bagi penstriman video dan permainan mudah alih.
Di Sarawak, kependaman bertambah baik daripada 48 milisaat (ms) kepada 23ms manakala kelajuan muat turun meningkat daripada 31Mbps kepada 43Mbps.
Begitu juga di Sabah, kependaman ialah 25ms berbanding 53ms, dan kelajuan muat turun melonjak daripada 25Mbps kepada 40Mbps.
Dalam memanfaatkan seni bina rangkaian teras baharu, Maxis telah memperoleh persetujuan daripada banyak penyedia kandungan antarabangsa yang popular untuk memasang pelayan mereka di pusat data Malaysia Timur Maxis bagi capaian kandungan terus, menghasilkan peningkatan dramatik dalam muat naik dan muat turun tapak web mereka.
Maxis pada masa yang sama telah meningkatkan persediaan dan proses operasinya untuk mengurus teras serantau baharu, dengan pasukan sokongan medan berdedikasi disediakan serta pengurusan prestasi juga papan pemuka untuk memantau trafik mudah alih.