Mbappe ‘mungkin’ beraksi buat PSG

Mbappe ‘mungkin’ beraksi buat PSG

LISBON,. Kylian Mbappe tampak akan beraksi buat Paris Saint-Germain dalam suku akhir Liga Juara-Juara berdepan Atalanta di Lisbon awal pagi esok selepas pemulihan bagus daripada kecederaan pergelangan kaki, kata jurulatih Thomas Tuchel.

“Jika dia berlatih baik pada petang Selasa dan tiada apa-apa pelik berlaku, dia akan bersama pasukan pada Rabu,” kata Tuchel.

Bagaimanapun Tuchel berkata Mbappe mungkin akan diletakkan di bangku simpanan.

“Kami gembira jika boleh menamatkan permainan dengan Kylian di padang kerana ia memberikan Neymar seseorang yang boleh bermain di sampingnya,” katanya.

Mbappe kesuntukan masa untuk cergas bagi saingan ‘Lapan Terakhir’ selepas kecederaan pergelangan kaki pada final Piala Perancis berdepan Saint-Etienne 24 Julai lalu.

Penyerang yang memenangi Piala Dunia bersama Perancis itu kembali berlatih pada hujung minggu lalu ketika kem latihan PSG dekat Algarve, Portugal.

Sama ada dia boleh disenaraikan atau tidak, memberikan suntikan tambahan buat juara Perancis itu ketika mereka menyasarkan separuh akhir kejohanan elit Eropah itu buat pertama kali sejak pengambilalihan oleh pemilik Qatar hampir sedakad lalu. – AFP

CATEGORIES
TAGS
Share This