MBI tidak batalkan operasi bazar Ramadan – Datuk Bandar

MBI tidak batalkan operasi bazar Ramadan – Datuk Bandar

IPOH,. Majlis Bandaraya Ipoh (MBI) tidak akan membatalkan pengoperasian bazar Ramadan di bandar raya itu selagi tidak menerima arahan Kerajaan Negeri.

Datuk Bandar Ipoh Datuk Rumaizi Baharin berkata setakat ini tiada sebarang perubahan dibuat memandangkan kes COVID-19 masih lagi terkawal walaupun daerah Kinta berada dalam zon merah.

“Kami sentiasa patuh kepada SOP (prosedur operasi standard) yang telah ditetapkan Majlis Keselamatan Negara (MKN). Sekiranya kami menerima arahan untuk membatalkan operasi bazar Ramadan, kami akan ikut arahan.

“Pemantauan (SOP di bazar Ramadan) ke atas pengunjung dan peniaga akan dilakukan bersama-sama dengan pihak berkuasa yang lain,” katanya kepada pemberita selepas pelancaran aplikasi Ipohpedia yang disempurnakan Exco Perumahan, Kerajaan Tempatan dan Pelancongan Negeri Perak Datuk Nolee Ashilin Mohammed Radzi pada Isnin.

Beliau berkata pihaknya telah mengeluarkan lesen perniagaan kepada kira-kira 1,040 peniaga pada tahun ini di 28 lokasi bazar Ramadan di bandar raya ini.

Semalam, Menteri Besar Perak Datuk Saarani Mohamad berkata kerajaan negeri belum bercadang mengikut langkah Kelantan untuk membatalkan bazar Ramadan walaupun daerah Kinta dan Manjung berada dalam kategori zon merah berikutan peningkatan kes COVID-19.

Saarani berkata perbincangan bersama MKN, Jabatan Kesihatan dan pihak berkuasa tempatan (PBT) akan diadakan sebelum sesuatu keputusan dibuat.

Mengulas mengenai aplikasi Ipohpedia, Nolee Ashilin berkata aplikasi itu diwujudkan sebagai platform untuk menyalur maklumat tentang tarikan, aktiviti, perkhidmatan dan pendokumentasian mengenai 33 bangunan warisan di sekitar bandar raya ini.

“Ia diwujudkan sebagai platform panduan umum dan muat turun maklumat dalam talian bagi pengunjung yang datang ke bandar raya ini seterusnya membantu mempromosikan pelbagai maklumat mengenai kawasan pelancongan.

“Dengan adanya aplikasi ini nanti, ia menjadi satu laman yang akan menjadi rujukan kepada para pelajar dan penyelidik yang mahu mendapatkan maklumat terperinci mengenai fungsi bandar warisan,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This