MBJB diharap wujudkan pusat transit gelandangan

MBJB diharap wujudkan pusat transit gelandangan

ISKANDAR PUTER,. Majlis Bandaraya Johor Bahru (MBJB) diharap dapat mewujudkan sebuah pusat transit gelandangan bagi menangani isu gelandangan di bandar raya ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat negeri Zaiton Ismail berkata ini kerana Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) Negeri Johor dan juga Yayasan Pembangunan Keluarga Darul Ta’zim (YPKDT) tidak mempunyai peruntukan khas bagi tujuan itu.

“Saya sudah berusaha, kita telah bermesyuarat beberapa kali bersama JKM dan YPKDT berkaitan pusat transit ini tetapi peruntukan khas itu kita tidak ada. Banyak juga perkara dibangkitkan iaitu dari segi kakitangan, persiapan, makanan dan sebagainya.

“Jadi, saya mengharapkan MBJB merealisasikan pusat transit gelandangan, mungkin MBJB ada tempat yang boleh didirikan pusat ini. Hal ini kerana, seperti di Kuala Lumpur dan Pulau Pinang pusat itu adalah di bawah seliaan dewan dan majlis bandar raya,” katanya kepada pemberita berhubung isu gelandangan di sekitar bandar raya Johor Bahru, hari ini.

Zaiton berkata JKM negeri sentiasa turun padang untuk menyiasat dan membuat pemprofilan golongan gelandangan yang kebanyakannya berada di bandar raya ini.

Malah menurutnya, sebelum ini kerajaan negeri Johor bersama JKM juga sudah berjaya menyelamatkan seramai 248 gelandangan ketika Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang ketika itu mereka diletakkan sementara di Kem Wawasan Negara Gunung Pulai di Kulai.

“Seramai 248 orang ini, kita buat pemprofilan, bagi yang mengalami masalah seperti mental atau penagihan dadah kita serah kepada pihak yang berkenaan.

“Bagi yang masih ada keluarga, JKM juga telah berjaya hantar kembali ke pangkuan keluarga mereka malah sehingga ke Sabah dan Sarawak,” katanya.

Beliau dalam masa sama, menyeru agar pertubuhan bukan kerajaan (NGO) bekerjasama dengan Persatuan Bulan Sabit Merah Malaysia atau Yayasan Kebajikan Negara (YKN) sekiranya ingin menghulurkan bantuan makanan kepada golongan itu di negeri ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This