MCA selar tindakan belakangkan pelantikan Bung sebagai pengarah PRN
SANDAKAN,. Ahli Majlis Tertinggi MCA Malaysia Datuk Chew Kok Woh menyelar tindakan membelakangkan Pengerusi Barisan Nasional (BN) atas pelantikan Dato’ Sri Bung Moktar Radin sebagai Pengarah Pilihan Raya Negeri (PRN) Sabah sekali gus mengetuai jentera BN menghadapi pilihan raya itu dijadualkan pada September ini.
Beliau yang juga Ketua MCA Bahagian Batu Sapi berkata sebagai salah satu parti komponen BN kita memberi sokongan padu kepada Pengerusi BN Sabah (Bung) itu mengetuai jentera parti pada PRN ini.
“Kita dalam MCA menerima keputusan yang dibuat oleh pucuk pimpinan parti, kerana keputusan yang dibuat itu berdasarkan kepentingan parti.
“Kita sokong Bung, akur keputusan yang dibuat dan ikut arahan pucuk pimpinan demi parti kita sayangi bukannya berlandaskan kepentingan parti dan agenda peribadi,” katanya ketika mengulas pelantikan Bung Moktar yang diumumkan oleh Pengerusi BN Datuk Seri Ahmad Zahid Hamidi.
Zahid juga turut mengumumkan Ahli Parlimen Kinabatangan (Bung) mengetuai rundingan dengan parti politik lain dalam gabungan Perikatan Nasional untuk menentukan calon yang bakal bertanding di 73 kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah.
Chew menjelaskan tidak ada dalam satu team atau satu pelayaran memiliki dua pendapat berbeza atau dua nakhoda dalam satu destinasi perjuangan.
“Apabila kita memiliki kesatuan yang kuat dan bersatu padu dalam satu kumpulan sudah tentu kita memperolehi kejayaan yang besar dalam perjuangan apatah lagi kita berhadapan dengan PRN Sabah,” katanya.
Ditanya mengenai tindakan dibuat kumpulan kecil pemimpin UMNO diketuai Datuk Seri Rahman Dahlan yang membantah keputusan Pengerusi BN, beliau menjelaskan kumpulan itu seharusnya menghubungi Bung dan Presiden Parti UMNO bukannya bertindak menghebahkan kepada pihak media massa.
“Tindakan melulu dengan membuat tindakan sidang media adalah tidak wajar dilakukan kerana kita sebagai pemimpin telah mengetahui saluran yang tepat untuk kita mengadakan perbincangan.
“Bertindak mendedahkan sesuatu yang ketidak puashati kepada pihak media massa tidak seharusnya berlaku,” tegasnya.
Chew berkata amalan yang dibuat oleh kumpulan kecil itu merupakan amalan yang tidak baik dan memberi kesan buruk kepada parti apatah lagi kita sedang berhadapan dengan PRN Sabah.
“Sewajarnya kita dalam pasukan memperkukuhkan parti dan menerima keputusan pucuk pimpinan BN,” katanya.
Beliau berkata alasan yang dibuat oleh kumpulan itu bukanlah satu masalah yang besar kerana itu boleh diselesaikan di meja rundingan dengan menggunakan saluran yang tepat.
“Sebagai pemimpin yang telah lama berjuang, sewajarnya mereka mengetahui apa yang baik untuk kepentingan parti bukannya bersifatkan kepentingan peribadi yang hanya menghancurkan parti dalam kepimpinan BN,” kataya.
Chew berkata kita seharusnya bersama dan menyokong Bung dalam mengatur strategi berkesan bagi memastikan kemenangan parti pada PRN Sabah.
“Jangan kita memperlihatkan kelemahan kita sendiri dalam parti yang hanya memberi ruangan kepada parti lawan menewaskan kita,” katanya.
Beliau menasihati para pemimpin dan ahli-ahli BN agar memberi fokus kepada kemenangan parti dalam PRN Sabah dan memberi sokongan padu kepada Bung untuk parti.