MCMC beku pemberian lesen baharu perkhidmatan kurier selama dua tahun

KUALA LUMPUR,. Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membuat keputusan membekukan (moratorium) pemberian lesen baharu perkhidmatan kurier selama dua tahun bermula 14 Sept 2020 hingga 15 Sept 2022.

MCMC dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu dibuat dengan persetujuan Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah menerusi kuasa pelesenan di bawah Akta Perkhidmatan Pos 2012 dan boleh disemak semula pada bila-bila masa berdasarkan keperluan.

Berikutan itu, MCMC tidak akan menerima permohonan lesen baharu semua kategori untuk menjalankan perkhidmatan kurier sepanjang tempoh moratorium berkuat kuasa.

“Moratorium dilaksanakan untuk memberi laluan kepada kerajaan bersama industri pos dan kurier membuat perancangan baharu bagi memperkukuhkan sektor tersebut yang berdepan pelbagai cabaran akibat perubahan teknologi dan trend pasaran.

“Langkah ini juga sejajar dengan gesaan rasmi yang dihantar oleh Persatuan Syarikat Penghantar Ekspres Malaysia (AMEC) iaitu gabungan 25 syarikat kurier utama di Malaysia termasuk Pos Malaysia Berhad, GD Express Sdn Bhd, City-Link Express (M) Sdn Bhd dan lain-lain sejak Ogos lalu,” menurut kenyataan itu.

Bagaimanapun, menurut kenyataan itu permohonan yang diterima sebelum tarikh kuat kuasa moratorium dan permohonan pembaharuan lesen sedia ada akan diproses untuk kelulusan.

Setakat Oktober 2020, terdapat 109 pemegang lesen perkhidmatan kurier pelbagai kategori yang beroperasi di Malaysia.

MCMC turut memaklumkan proses merangka pelan tindakan baharu akan dilaksanakan menerusi penganjuran Makmal Industri Pos dan Kurier Negara (NPCIL) yang berlangsung selama tiga minggu bermula 2 hingga 22 Nov ini tertakluk kepada arahan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB).

“Laporan penuh yang mengandungi cadangan pelan tindakan bagi menyokong aspirasi pembangunan strategik industri pos dan kurier baharu itu akan dimuat naik dalam laman sesawang MCMC.

“Hasil NPCIL penting untuk industri ini yang menjadi teras kepada aktiviti e-dagang dan pembangunan ekonomi digital yang menghadapi pelbagai cabaran baharu. Kajian terakhir mengenai industri pos dan kurier dilakukan pada tahun 2009,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )