MDEC umum sembilan lagi rakan kongsi makmal transformasi digital

MDEC umum sembilan lagi rakan kongsi makmal transformasi digital

KUALA LUMPUR, 30 Ogos — Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) mengumumkan sembilan lagi rakan kongsi baharu Makmal Transformasi Digital (DTL) untuk memperkasa lebih banyak syarikat Malaysia ke arah digital dan memperkukuh kedudukan negara sebagai hab teknologi dan digital serantau.

Ia melibatkan ABB Malaysia, Alpha Catalyst, Ernst & Young, Fusionex, Mawea Industries, Polymath, PwC Consulting Associates, Rockwell Automation dan Siemens.

MDEC dalam kenyataan hari ini berkata dengan penambahan itu, jumlah rakan kongsi DTL ialah 14.

“Memandangkan teknologi membawa dunia ke hadapan dengan lebih pantas, syarikat di Malaysia perlu mengiktiraf kepentingan transformasi digital dan manfaat tanpa had yang akan diperolehi.

“Syarikat yang maklum mengenai transformasi digital meraih keuntungan lebih 26 peratus daripada yang lain menurut Laporan Transformasi Digital Industri Forum Ekonomi Dunia,” kata Ketua Pegawai Operasi Datuk Ng Wan Peng.

Menyedari impak Revolusi Perindustrian Keempat, MDEC menubuhkan Program Pecutan Transformasi Digital (DTAP) pada 2018 untuk masa depan syarikat Malaysia dengan melengkapkan mereka bersama keperluan diperlukan untuk membantu memulakan perjalanan transformasi digital.

DTAP dilancarkan bersama-sama dua objektif utama iaitu mempromosikan syarikat-syarikat Malaysia dengan membantu mereka meningkatkan daya saing dan menyedia pendekatan berstruktur menerusi rakan kongsi DTL, sambil mengguna pakai teknologi digital yang wujud.

Ia merupakan program berasaskan hasil yang direka untuk membantu syarikat mencapai hasil yang diharapkan menerusi transformasi digital.

Rakan kongsi DTL merupakan pakar yang membantu syarikat mengenal pasti titik penting perniagaan dengan menggunakan metodologi spesifik untuk menghasilkan idea baharu, mereka bentuk model perniagaan baharu, membangunkan produk baharu dan/atau perkhidmatan dan akhir sekali,merintis pelan pelaksanaan.

Bahagian yang kritikal ialah fasa perintis kerana ia pada asasnya menetapkan perjalanan transformasi digital.

Setakat ini, rakan kongsi DTL telah menganjurkan 23 bengkel yang memanfaatkan 300 syarikat tempatan dalam merangka perjalanan transformasi digital.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus (0 )