MDEC, Weibo jalin kerjasama bagi pembangunan rintis portal ‘bandar maya’

MDEC, Weibo jalin kerjasama bagi pembangunan rintis portal ‘bandar maya’

KUALA LUMPUR,. Malaysia Digital Economy Corporation Sdn Bhd (MDEC) dan platform media sosial China, Weibo, hari ini memeterai Memorandum Persefahaman (MoU) untuk bekerjasama dalam pembangunan dan pelaksanaan rintis portal ‘bandar maya’.

Dalam kenyataan bersama, kedua-dua pihak berkata portal yang akan dikendalikan menerusi platform Weibo itu akan membolehkan pengguna China memperoleh maklumat mengenai produk dan perkhidmatan yang ditawarkan oleh mana-mana bandar di Malaysia.

Ia juga akan menyediakan pengalaman, saranan serta panduan berguna lain untuk dikongsikan antara satu sama lain, menurut MDEC dan Weibo.

Kerjasama ini diwujudkan agar jenama dan produk Malaysia lebih dikenali selain memiliki hubungan rentas sempadan lebih luas menerusi usaha memanfaatkan kuasa keupayaan media sosial China.

“Matlamatnya adalah melonjakkan permintaan terhadap jenama Malaysia serta memangkin aktiviti e-dagang rentas sempadan antara Malaysia dan China. Ia turut akan menyaksikan pemupukan bakat Malaysia yang secara khusus boleh menggunakan platform sosial-dagang Weibo,” menurut mereka.

MDEC akan bekerjasama dengan agensi kerajaan utama dan sektor swasta bagi penyertaan dalam pembangunan dan pelaksanaan portal ‘bandar maya’ itu yang dijangka dilancarkan tahun ini.

“Ia akan menjadi ‘bandar maya’ pertama di Asia Tenggara dan ketiga yang dilancarkan di luar China selepas Bandar Maya London dan Tokyo,” menurut mereka.

Majlis menandatangani MoU itu berlangsung sempena acara ‘Weibo for Business’ anjuran bersama Weibo dan MDEC.

Ketua Pegawai Operasi MDEC Datuk Ng Wan Peng menandatangani MoU itu mewakili agensi kerajaan manakala Weibo diwakili Pengurus Besar Antarabangsa, Jennie So.

Pada majlis itu, pemilik perniagaan tempatan juga memperolehi maklumat dan menerokai ciri dan pendekatan pemasaran Weibo melalui pelbagai bengkel bimbingan dan pameran.

Weibo adalah antara platform media sosial paling popular di China, yang mempunyai lebih 497 juta pengguna aktif bulanan dan 216 juta pengguna aktif harian serta 94 peratus daripada pengguna harian ialah mereka yang berusia bawah 30 tahun.

“Hasilnya, Weibo telah menjadi komponen penting dalam mana-mana strategi penyertaan digital di China yang termasuk memanfaatkan ekosistem dan ciri-cirinya yang sangat terhubung, meliputi sistem pesanan ringkas selain perkongsian gambar dan video,” menurut mereka.

MDEC ialah agensi di bawah Kementerian Komunikasi dan Multimedia yang diamanahkan untuk memajukan ekonomi digital negara.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This