MED sedia menjadi pemangkin untuk PKS dalami digitalisasi

MED sedia menjadi pemangkin untuk PKS dalami digitalisasi

PUTRAJAYA,. Kementerian Pembangunan Usahawan (MED) bersedia menjadi pemangkin kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) bagi memastikan mereka memahami secara mendalam mengenai digitalisasi dan ekonomi digital.

Menteri Pembangunan Usahawan (MED) Datuk Seri Mohd Redzuan Md Yusof berkata kebanyakan usahawan PKS enggan menceburi sektor digital kerana merasakan perkhidmatan secara dalam talian tidak selamat.

“Menurut statistik, kita lihat PKS menyatakan tidak mahu menggunakan gerbang pembayaran sebab mereka merasakannya pengunaanya tidak selamat.

“Kita (kementerian) boleh membantu mereka, dan institusi kewangan yang menyediakan perkhidmatan ini turut menyertakan sekuriti dan insurans sekiranya berlaku apa-apa yang tidak diingini,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perasmian Persidangan Masa Depan PKS 2019 di sini hari ini.

Mohd Redzuan berkata mereka perlu memahami manfaat ekonomi digital yang sekali gus akan meningkatkan pertumbuhan perniagaan mereka.

“Peranan kami adalah untuk memudahkan peningkatan (PKS), terutama dalam kalangan kumpulan berpendapatan rendah (B40), kami perlu menyedarkan mereka untuk mengaplikasinya dalam rangkaian bekalan bagi memperoleh hasil daripada ekonomi digital,” katanya.

Dalam ucapan perasmiannya, beliau berkata persidangan Masa Depan PKS diadakan sejajar dengan aspirasi kerajaan untuk mencapai sumbangan PKS kepada Keluaran Dalam Negara Kasar sebanyak 50 peratus menjelang 2030, seperti disasarkan di bawah Dasar Keusahawanan Nasional (DKN) 2030.

Selain itu, katanya sejumlah 164 program pembangunan PKS dan keusahawanan telah dilaksanakan pelbagai kementerian dan agensi tahun ini dengan komitmen kewangan sebanyak RM13.70 bilion.

“Ini termasuk 28 program yang memberi tumpuan kepada inovasi dan penerapan teknologi dengan komitmen kewangan sebanyak RM148 juta,” katanya.

Usaha itu adalah bagi memastikan PKS di Malaysia bersedia menghadapi perubahan teknologi dan inovasi dan seterusnya mampu berdaya saing dengan syarikat-syarikat besar.

Persidangan dua hari bermula hari ini bertemakan ‘Menjuruterai Masa Depan’ itu bertujuan mempersiap PKS untuk menghadapi perubahan teknologi dan inovasi serta memastikan PKS tempatan kekal relevan dan berdaya saing dalam persekitaran pasaran yang kompetitif.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This