MEDAC berusaha pastikan usahawan mikro dalam senarai utama penerima vaksin

MEDAC berusaha pastikan usahawan mikro dalam senarai utama penerima vaksin

PUTRAJAYA: Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC) sedang berusaha memastikan agar pengusaha perniagaan mikro dan perniagaan tidak rasmi tersenarai sebagai penerima utama vaksin dalam Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan.

Menterinya Datuk Seri Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, berkata sebahagian besar pengusaha perniagaan ini berada di sektor perkhidmatan yang secara langsung berurusan dengan orang ramai, oleh itu mereka juga harus diiktiraf sebagai petugas barisan hadapan.

Katanya, MEDAC kini sedang berbincang dengan Majlis Keselamatan Nasional (MKN) untuk memasukkan pengusaha mikro dan pengusaha perniagaan tidak rasmi ke dalam senarai keutamaan untuk program vaksinasi.

“Kumpulan ini adalah golongan yang berurusan dengan masyarakat, maka mereka sangat terdedah kepada penyebaran virus. Mereka juga harus diberi keutamaan untuk mendapatkan vaksinasi. Kami berharap MKN dapat membantu kami dalam hal ini, ” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Wan Junaidi berkata, beliau dan Ketua Setiausaha MEDAC Datuk Suriani Ahmad telah menulis surat kepada Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) untuk memasukkan pengusaha perniagaan mikro dan tidak rasmi agar diberi keutamaan sebagai penerima vaksin.

Kini terdapat hampir dua juta perniagaan mikro dan perniagaan tidak rasmi di seluruh negara yang menyediakan pekerjaan kepada lebih 7 juta individu. Lebih 78 peratus sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS) negara ini terdiri daripada perniagaan mikro.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This