Media perlu terus ketengahkan kekejaman Israel kepada dunia

Media perlu terus ketengahkan kekejaman Israel kepada dunia

KUALA LUMPUR,. Tatkala media berperanan melaporkan kepada dunia mengenai pencerobohan dan kekejaman rejim Israel ke atas Palestin dan penduduknya, konflik Israel-Palestin yang telah berlanjutan selama beberapa dekad bukan hanya mengenai dua pihak yang berperang satu sama lain.

Editor Timur Tengah Agensi Anadolu Turgut Alp Boyraz berkata, naratif dalam liputan krisis mesti berubah untuk memberikan gambaran serta isu sebenar apa yang berlaku di lapangan.

“Penting bagi kita untuk mengubah penceritaannya, untuk menunjukkan putaran kekejaman yang dilakukan Israel.

“Kita perlu mengetengahkan nasib wanita dan kanak-kanak, penderitaan dan masa depan suram yang bakal mereka lalui,” kata Turgut yang berpangkalan di al-Quds (Baitulmaqdis) semasa forum maya mengenai “Harnessing 24-Hour Global Journalism on Palestine Issue” pada Selasa.

Forum tersebut dianjurkan Ikatan Setiakawan Wartawan Malaysia-Indonesia (Iswami) dengan penyertaan media dari Malaysia, Indonesia, Bosnia-Herzegovina, Nigeria, Pakistan dan Turki.

Ketua Pengarang Astro AWANI Ashwad Ismail berkata naratif strategik yang tepat diperlukan untuk mengekalkan ‘stamina’ dalam membuat liputan krisis.

“Kita telah memerangi kekejaman yang sama sejak tujuh dekad lalu. Tetapi apa yang dicapai setelah semua kemarahan, semua kecaman itu?,” soalnya, sambil menambah bahawa usaha perlu diperkuat untuk menyatukan masyarakat antarabangsa bersama dalam satu suara menentang kekejaman Israel.

Beliau juga mencadangkan supaya teknologi mudah alih dimanfaatkan dan cawangan media memantapkan keseluruhan proses perkongsian kandungan secara terus dari Gaza.

Sementara itu, wartawan Al Jazeera di Malaysia Hardjito Warno, juga bersetuju bahawa laporan mengenai perjuangan Palestin perlu telus dan terbuka.

Beliau menyarankan media di Malaysia, Indonesia dan Brunei berganding bahu untuk membuat bank data dan berkongsi maklumat mengenai isu Palestin.

Sementara itu, Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) bersedia menawarkan pelbagai platform berita kepada rakan-rakan Palestin melalui Perkhidmatan Berita Antarabangsa untuk membantu menyebarluaskan maklumat mengenai perkembangan semasa di Gaza kepada khalayak.

Bernama mempunyai perkongsian berita dengan agensi lain di rantau ini termasuk Antara Indonesia, serta menjadi anggota pertubuhan berita serantau seperti Pertubuhan Agensi Berita Asia Pasifik (OANA) dan Rangkaian Berita NAM (NNN), yang memberikan liputan meluas di seluruh pelosok dunia.

Ketegangan baru-baru ini yang bermula di Baitulmaqdis Timur pada Ramadan merebak ke Gaza apabila pejuang Palestin di sana berikrar untuk membalas serangan Israel terhadap Masjid Al-Aqsa dan Sheikh Jarrah jika rejim itu tidak menghentikan serangan.

Menurut Kementerian Kesihatan Palestin, sekurang-kurangnya 217 penduduk Palestin terbunuh pada Selasa, termasuk 63 kanak-kanak dan 36 wanita, sejak serangan Israel di Semenanjung Gaza pada 10 Mei.

Kira-kira 1,500 yang lain juga dilaporkan cedera sementara banyak bangunan musnah atau rosak dalam serangan itu, termasuk bangunan al-Jalaa yang menempatkan pejabat media antarabangsa Al Jazeera dan Associated Press.

Israel menduduki Baitulmaqdis Timur, yang menempatkan masjid Al-Aqsa, semasa perang Arab-Israel 1967. Pada 1980 rejim itu menceroboh seluruh bandar, satu tindakan yang tidak pernah diiktiraf masyarakat antarabangsa.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This