Megat Shahriman akan letak jawatan
KUALA LUMPUR,. “Saya akan letak jawatan dalam salah satu persatuan selepas Sukan Para Asean Filipina 2020.”
Itu janji Datuk Seri Megat Shahriman Zaharudin selepas dipilih sebagai presiden Majlis Paralimpik Malaysia (MPM) dalam mesyuarat agung tahunan (AGM) badan induk itu hari ini.
Drama bersiri kemelut MPM akhirnya menemui penghujung apabila beliau berjaya menjawat jawatan presiden MPM tanpa bertanding dalam AGM badan induk itu.
Selepas dipilih sebagai presiden MPM, Megat Shahriman memberi kejutan apabila ingin mengumumkan peletakan jawatannya dalam salah satu persatuan sukan sebaik sahaja berakhir saingan Sukan Para Asean Filipina.
“Memang boleh diuruskan, tiada masalah. Saya mempunyai sumber, malah staf ketika ini berjumlah 300 orang tetapi fokus diperlukan. Saya akan lepaskannya selepas Sukan Para Asean,” katanya.
Sementara itu, Timbalan Presiden MPM, Dr S Radha Krishnan, yakin presiden baru MPM akan membawa badan itu ke peringkat yang lebih tinggi, namun mahu Megat Shahriman diberikan masa untuk melakukannya.
“Mengenai presiden baru, dia sangat aktif dan masih muda. Diharapkan prestasi yang ditunggu mampu dilakar tetapi berikan dia masa. Kami minta agar kerajaan berikan lebih banyak peruntukan kerana kami juga banyak hadirkan emas,” katanya.