Mekanisme pembayaran semula 40 peratus hasil Persekutuan – UPKO

Mekanisme pembayaran semula 40 peratus hasil Persekutuan – UPKO

KOTA KINABALU,. Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO) akan mengemukakan cadangan kerangka meknanisme bagi pembayaran semula 40 peratus hasil Persekutuan di Sabah kepada kerajaan Persekutuan dan kerajaan negeri.

Presidennya, Datuk Ewon Benedick berkata cadangan kerangka mekanisme tersebut mengambil kira isu-isu teknikal berkaitan dengan kebolehdapatan data berkaitan dengan kutipan hasil Persekutuan di Sabah sejak tahun 1974 dan langkah ke hadapan yang lebih praktikal.

Katanya, sebagai anggota Majlis Tindakan Penyelesaian Perjanjian Malaysia 1963 (MTPMA63) dan Jawatankuasa Teknikal MTPMA63 (JKMTPMA63), beliau mengadakan perbincangan meja bulat dengan pemimpin-pemimpin Sabah yang mempunyai kepakaran dalam bidang masing-masing bagi membina kerangka itu.

“Cadangan kerangka mekanisme ini akan saya angkat kepada kerajaan melalui perbincangan dengan Perdana Menteri, Timbalan Perdana Menteri II dan Ketua Menteri Sabah sebelum mesyuarat MTPMA63 dan JKMTPMA63 diadakan awal tahun hadapan,” katanya ketika mempengerusikan perbincangan meja bulat bagi membincangkan isu berkenaan, di sini pada Selasa.

Ewon, yang juga Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi, berkata cadangan kerangka mekanisme perlu dikemukakan selaras dengan keputusan kerajaan menetapkan tempoh masa satu tahun bermula bulan Julai 2023 bagi memuktamadkan mekanisme pembayaran tersebut.

Beliau turut mencadangkan supaya satu mesyuarat pramajlis melibatkan anggota daripada Sabah diadakan lebih awal agar dapat membawakan naratif sama.

“Pokoknya, kita mahu sebarang pembayaran khas kepada Sabah harus berasaskan formula 40 peratus seperti mana Perkara 112C Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Hadir dalam perbincangan itu antaranya bekas Ketua Menteri, Tan Sri Bernard Dompok, wakil Sabah di Lembaga Hasil Dalam Negeri, Datuk Petrus Gimbad, bekas Presiden Sabah Law Society, Datuk Roger Chin, Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah, Prof Datuk Dr Ramzah Dambul dan bekas Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Wilfred Bumburing.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This