Melaka gerak sukarelawan bantu pascabanjir di Johor

Melaka gerak sukarelawan bantu pascabanjir di Johor

MELAKA,. Kerajaan negeri Melaka dengan kerjasama Melaka Youth Development Corporation (MYDC) akan mengerakkan sukarelawan bagi misi bantuan pascabanjir di beberapa daerah di Johor yang terjejas akibat bencana itu Isnin ini.

Pengerusi Jawatankuasa Pertubuhan Bukan Kerajaan (NGO), Pembangunan Belia dan Sukan Melaka Datuk Mohd Rafiq Naizamohideen berkata misi itu akan melibatkan kira-kira 15 kenderaan pacuan empat roda dengan seramai 70 sukarelawan untuk menyampaikan sumbangan sebanyak RM25,000.

“Kita melihat bantuan tenaga kerja amat diperlukan untuk melakukan pembersihan pascabanjir di rumah-rumah mangsa yang terjejas di samping menghulurkan sumbangan keperluan asas.

“Kita akan menumpukan kawasan kritikal seperti daerah Johor Bahru, Mersing, Kota Tinggi dan Kluang seterusnya ke negeri lain yang turut terkesan dilanda bencana itu,” katanya kepada pemberita selepas majlis penyampaian bantuan persekolahan peringkat Dewan Undangan Negeri (DUN) Paya Rumput, di sini, hari ini.

Pada majlis itu, seramai 150 murid sekolah rendah menerima bantuan kelengkapan persekolahan dengan peruntukan keseluruhan RM22,000 menerusi Tabung Amanah Pendidikan Negeri Melaka (TAPEM).

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This