Melaka tambah baik kemudahan, fasiliti pastikan zon bebas kenderaan berjalan lancar

Melaka tambah baik kemudahan, fasiliti pastikan zon bebas kenderaan berjalan lancar

MELAKA,. Kerajaan negeri Melaka akan menambah baik kemudahan dan fasiliti termasuk kawasan parkir bagi memastikan pelaksanaan zon bebas kenderaan di kawasan tumpuan pelancong sekitar Banda Hilir dari pukul 6 petang hingga 12 tengah malam pada setiap Sabtu berjalan lancar.

Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Rais Yasin berkata selain itu kerjasama dengan pihak polis turut dipertingkatkan bagi membantu mengatasi dengan segera masalah kesesakan lalu lintas.

“Pelaksanaan zon bebas kenderaan ini masih dalam fasa percubaan dan kita sedang mencari lagi ruang untuk menambah bilangan tempat letak kenderaan di kawasan tumpuan pelancong ini supaya pelaksanaan zon bebas kenderaan berjalan lancar.

“Saya juga telah mengingatkan Majlis Bandaraya Melaka Bersejarah (MBMB) supaya mengambil kira setiap maklum balas, rungutan atau pun pendapat daripada masyarakat dan pengunjung itu sendiri supaya kita dapat tambah baik inisiatif ini,” katanya kepada pemberita di sini malam tadi.

Terdahulu beliau menyempurnakan Majlis Apresiasi MBMB 2023 yang turut dihadiri Timbalan Exco Kanan Perumahan , Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim Dan Pengurusan Bencana negeri Datuk Zulkifli Mohd Zin dan Datuk Bandar MBMB Datuk Shadan Othman.

Mengulas lanjut Rais berkata usaha penambahbaikan itu juga seiring dengan persediaan Tahun Melawat Melaka 2024 (TMM2024) dalam merancakkan lagi kedatangan pelancong ke negeri bersejarah itu.

Katanya pelbagai aktiviti turut diadakan pada setiap malam minggu seperti ‘fun ride’ dan ‘busking’ untuk memeriahkan kawasan tumpuan di sekitar Banda Hilir.

“Kita mempunyai agenda besar iaitu untuk memastikan TMM2024 dapat dijayakan bersama di samping dalam tempoh empat bulan sebelum menjelang tahun depan, pihak berkuasa tempatan (PBT) juga akan memastikan negeri Melaka ini sentiasa dalam keadaan bersih, indah dan sejahtera,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This