Menara telekomunikasi terjejas akibat banjir di Kelantan selesai dibaiki – Fahmi

Menara telekomunikasi terjejas akibat banjir di Kelantan selesai dibaiki – Fahmi

KUALA LUMPUR,. Sejumlah 100 menara telekomunikasi di Kelantan yang rosak akibat banjir telah selesai dibaiki serta berfungsi seperti biasa, kata Menteri Komunikasi Dan Digital Fahmi Fadzil.

Beliau berkata kerja baik pulih yang dilakukan oleh Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) itu juga antara lain melibatkan penambahbaikan kepada 127 menara telekomunikasi di Kelantan.

“Alhamdulilah semuanya telah diperbaiki dan berfungsi. Ini merupakan komitmen Kementerian Komunikasi dan Digital (KKD) untuk memastikan setiap fasiliti telekomunikasi di kawasan yang terjejas banjir berfungsi dengan baik,” menurutnya dalam kenyataan malam tadi.

Fahmi berkata MCMC juga telah menambah baik sebuah menara telekomunikasi di Bendang Pak Yong, Tumpat menggunakan konsep Rangkaian Teras Operator Berbilang (MOCN) manakala Tenaga Nasional Berhad meninggikan tapak sembilan substesen yang berdekatan bagi memastikan punca bekalan elektrik tidak terjejas akibat banjir.

“KKD akan terus memastikan kebajikan rakyat dibela tanpa diskriminasi termasuk di negeri yang diperintah oleh pembangkang… Selain menyantuni dan memahami keperluan rakyat di peringkat akar umbi, pendekatan rahmah ini diyakini mampu mengekalkan keharmonian dan perpaduan,” katanya.

Beliau berkata KKD turut berkesempatan menyerahkan sumbangan barangan keperluan asas kepada 450 penerima melibatkan penduduk sekitar Tumpat, Bachok, Kota Bharu, Pasir Mas, Pasir Puteh, Tanah Merah dan Kuala Krai serta pengamal media dan warga kementerian itu yang terkesan akibat banjir.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )