Mengenang Masing: Ketua Menteri, rakan kabinet beri penghormatan terakhir

Mengenang Masing: Ketua Menteri, rakan kabinet beri penghormatan terakhir

KUCHING,. Ketua Menteri Sarawak Datuk Patinggi Abang Johari Tun Openg akan menghadiri upacara penghormatan terakhir buat mendiang Tan Sri Dr James Jemut Masing pada Rabu.

Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Datuk Amar Jaul Samion berkata selain Abang Johari, menteri-menteri Kabinet, Speaker dan Timbalan Speaker Dewan Undangan Negeri Sarawak, turut akan memberi penghormatan terakhir mereka pada upacara yang diadakan di Association of Churches in Sarawak (ACS), Jalan Stampin, di sini.

“Mereka akan memberi penghormatan terakhir mulai 8.30 hingga 9 pagi diikuti dif-dif kenamaan dan ketua-ketua jabatan sehingga 10.30 pagi.

“Orang awam pula akan mula memberi penghormatan mereka pada 10.30 pagi hingga 1.30 petang,” menurut Jaul dalam satu kenyataan di sini, pada Isnin.

Masing yang merupakan Timbalan Ketua Menteri Sarawak serta Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Baleh meninggal dunia di Pusat Perubatan Normah Sarawak (NSMC) di Petra Jaya, Kuching pada 7.05 pagi Ahad. Beliau berusia 72 tahun.

BACA: [LAPOR LANGSUNG] Penghormatan terakhir buat James Jemut Masing
Presiden Parti Rakyat Sarawak (PRS) itu dimasukkan ke Unit Rawatan Rapi (ICU) Hospital Umum Sarawak pada September selepas disahkan positif COVID-19 dan kemudian dipindahkan ke NSMC untuk rawatan susulan.

Sementara itu, Jaul berkata orang awam yang bercadang untuk datang hendaklah mematuhi prosedur operasi standard (SOP) dan hanya pelawat yang lengkap menerima dua dos vaksin dibenarkan hadir.

“Pelawat yang datang juga digalakkan menjalani ujian saringan Rapid Test Kit (RTK) kendiri, wajib memakai pelitup muka dan mengamalkan penjarakkan fizikal sepanjang masa.

“Mereka juga diminta mematuhi penggiliran di mana hanya 30 orang sahaja dibenarkan masuk ke dewan pada satu-satu sesi penghormatan,” menurutnya.

Jenazah Masing kemudiannya akan dibawa ke Nirvana Memorial Park, Kuching untuk upacara pengkebumian selepas selesai upacara penghormatan terakhir pada jam 2 petang.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This