Mercy Malaysia rayu sukarelawan perubatan untuk dihantar ke Sabah
KUALA LUMPUR,. MERCY Malaysia menyeru sukarelawan dalam kalangan profesional perubatan untuk menyertai pasukan organisasi itu di Sabah untuk membantu melaksanakan secara besar-besaran ujian saringan COVID-19 dan rawatan di pelbagai lokasi di negeri itu.
Dalam kenyataan di sini, MERCY Malaysia, sebuah organisasi yang menyediakan bantuan sukarelawan memaklumkan bahawa keperluan mendesak adalah bagi doktor, jururawat, pegawai perubatan, pembantu perubatan, juruteknik makmal, radiografi dan pakar perubatan dalaman, anestetik serta perubatan kecemasan.
MERCY Malaysia, merancang untuk menghantar pasukan perubatan setiap minggu sehingga Disember dengan setiap pasukan akan bertugas selama dua minggu dan akan menjalani tempoh kuarantin selama dua minggu setelah kembali dari Sabah.
“Bagi mempermudah proses tersebut, MERCY Malaysia akan menampung kos kuarantin dengan menyediakan tempat tinggal dan makanan selama dua minggu setelah sukarelawan pulang dari Sabah,” katanya.
MERCY Malaysia mempunyai lapan pasukan sukarelawan yang kini berpusat di Kota Kinabalu, sementara pasukan lain terdiri daripada tiga orang yang akan dibawa dari Semenanjung minggu depan.
Individu yang berminat boleh menghubungi talian 019-314 0769 untuk maklumat lanjut.
— BERNAMA