‘Mereka tak perlu fikir banyak, lawan saja’

‘Mereka tak perlu fikir banyak, lawan saja’

KUALA LUMPUR,. Peningkatan prestasi ditunjukkan barisan pemain perseorangan lelaki muda negara menyaksikan ‘si abang’ kini tidak lagi boleh berada dalam zon selesa.

Ini termasuklah pemain nombor satu negara, Lee Zii Jia.

Kejohanan Jemputan BAM yang diadakan minggu lalu menyaksikan Ng Tze Yong muncul juara selepas menewaskan bekas juara remaja Asia, Leong Jun Hao dalam aksi final.

Nasib tidak menyebelahi Zii Jia apabila dia terpaksa menarik diri daripada kejohanan itu selepas mengalami kecederaan belakang yang menyaksikan dia perlu berehat tiga hingga empat minggu.

Pemain ranking ke-10 dunia itu, berkata, dia kagum dengan semangat juang tinggi ditunjukkan pemain muda sepanjang kejohanan itu.

“Bukan mudah mahu mengekalkan tahap kecergasan seperti ini. Walaupun saya menarik diri tetapi sebelum itu saya bermain sehingga set penentuan dan memang letih.

“Jadi, apa yang ditunjukkan pemain muda memang sesuatu yang bagus.

“Seperti yang saya katakan sebelum ini, sebagai pemain senior beraksi dalam kejohanan seperti ini tekanannya lebih tinggi berbanding pemain muda. Mereka tidak perlu fikir banyak, lawan saja,” kata Zii Jia.

Mengulas mengenai kecederaannya, Zii Jia berharap dia dapat kembali menjalani latihan ke gelanggang secepat mungkin.

“Pada mulanya, saya fikir kecederaan ini tidak terlalu serius kerana beranggapan mungkin terlampau memaksa diri.

“Namun, selepas melakukan ujian ultra sound (Isnin lalu), ada koyak di bahagian otot. Jadi, saya perlu menjalani proses pemulihan dan diharapkan selepas minggu depan saya dapat kembali berlatih di gelanggang,” katanya.

CATEGORIES
TAGS
Share This