
Messi aktifkan klausa pelepasan
MADRID,. Lionel Messi memberitahu Barcelona yang dia mahu menamatkan kontraknya bersama kelab gergasi Sepanyol itu, menurut sumber kelab berkenaan.
Peguam mewakili bintang Argentina itu menghantar faks kepada Barcelona yang antara kandungannya mengatakan keinginan Messi untuk mengakhiri kontraknya menerusi klausa pelepasan.
Barcelona belum memberi maklum balas terhadap permintaan itu tetapi difahamkan klausa itu berakhir pada Jun dan Messi masih mempunyai kontrak sehingga akhir musim 2021.
“Secara prinsipal, klausa ini berakhir pada 10 Jun, tetapi dengan situasi luar biasa musim ini yang tertangguh akibat coronavirus, ia membuka peluang buat Messi untuk meminta dilepaskan daripada kontraknya.
“Ia adalah langkah pertama untuk memulakan rundingan bagi perpindahannya menerusi klausa pelepasan yang bernilai 700 juta euro (RM3.45 bilion),” lapor media sukan Sepanyol.
Messi menyertai akademi remaja Barcelona pada usia 13 tahun dan membuat penampilan sulungnya pada tahun 2004 di usia 17 tahun.
Pemenang enam kali Ballon d’Or itu adalah penjaring terbanyak kelab dengan 634 gol dan memenangi Liga Juara-Juara Eropah sebanyak empat kali.
Namun masa depannya di Barca mula kabur selepas kekalahan memalukan 8-2 di tangan Bayern Munich pada aksi suku akhir Liga Juara-Juara di Lisbon 11 hari lalu.
Ia adalah kali pertama Barca dibolosi lapan gol dalam satu perlawanan sejak kekalahan 8-0 di tangan Sevilla pada Piala Sepanyol 1964. – AFP