Messi boleh beraksi: Setien
BARCELONA,. Lionel Messi dijangka cergas menjelang aksi menentang Real Mallorca, selepas mengalami masalah otot di paha kanan, kata pengendali pasukan Quique Setien.
Messi berlatih bersendirian pada hari Sabtu di Camp Nou selepas tidak menyertai dua sesi latihan bersama pasukan sebelumnya, sekali gus menimbulkan persoalan sama ada dia akan beraksi di Mallorca Sabtu ini.
“Bukan hanya Messi seorang yang sudah lama tidak berlatih dan rasa tidak selesa.
“Ia akan berlaku kepada semua orang apabila kembali berlatih selepas rehat panjang.
“Ia hanya kekejangan kecil dan kami dapat menanganinya. Dia dalam keadaan baik dan tidak akan ada masalah,” kata Setien.
Messi dijangka kembali menjalani sesi latihan penuh dalam beberapa hari sebelum La Liga kembali bersambung Khamis ini.
Selain Messi, Luis Suarez juga mendapat lampu hijau daripada kelab untuk kembali beraksi selepas menjalani pembedahan lutut kanan pada Januari.
La Liga akan bersambung Khamis ini selepas rehat tiga bulan akibat pandemik COVID-19, dengan Sevilla menentang Real Betis.
11 perlawanan berbaki musim ini dan ia akan diadakan setiap hari sehingga musim berakhir pada 19 Julai. – AFP