MESTECC peruntuk RM16 juta bagi R&D di bawah I-CONNECT

MESTECC peruntuk RM16 juta bagi R&D di bawah I-CONNECT

PUTRAJAYA,. Kementerian Tenaga, Sains, Teknologi, Alam Sekitar dan Perubahan Iklim (MESTECC) memperuntukkan geran sebanyak RM16 juta untuk penyelidikan dan pembangunan (R&D) di bawah inisiatif I-CONNECT.

Menterinya, Yeo Bee Yin berkata inisiatif itu, merupakan kerjasama bersama dengan Akademi Sains Malaysia, menumpukan kepada empat bidang perintis, iaitu Kesihatan dan Kesejahteraan; Fintech dalam Kewangan Islam (Perkhidmatan); Industri 4.0 (Pembuatan), dan Rantaian Bekalan Halal.

“I-CONNECT merupakan platform kerjasama antara penyelidik, industri, kerajaan dan NGO (pertubuhan bukan kerajaan), supaya kita boleh mendapat R&D yang dipacu permintaan untuk keperluan pasaran dan industri.

“I-CONNECT tidak akan membezakan sama ada anda penggiat asing atau tempatan. Selagi anda telah (mewujudkan) perniagaan di Malaysia, melabur di Malaysia, kami mengalu-alukan anda (untuk menggunakan platform itu),” katanya kepada media selepas melancarkan Malaysian Collaborative Network Platform for Disruptive Innovation and Malaysia Open Science Platform (MOSP) Initiatives, di sini hari ini.

Yeo berkata dengan I-CONNECT, yang menawarkan ekosistem lebih baik dari segi inovasi, dengan adanya penyelidik dan platform kerjasama, negara akan dapat menarik lebih banyak Pelaburan Langsung Asing yang berteraskan pengetahuan ke Malaysia.

Beliau berkata entiti neutral1 yang dipercayai di bawah I-CONNECT akan menjadi perantara inovasi atau pemacu yang akan menyusun rangkaian kerjasama dalam kalangan penggiat selain merealisasikan pencapaian industri.

Mengenai MOSP, Yeo berkata inisiatif itu bertujuan menghubungkan data penyelidikan, penyelidikan dan penerbitan antara lima universiti penyelidikan, dan 15 institut penyelidikan dan agensi MESTECC.

“MOSP merupakan platform perkongsian data. Pada masa ini, penyelidik melakukan penyelidikan mereka sendiri dan mempunyai data mereka sendiri dan mereka tidak mengetahui bahawa penyelidik lain telah melakukan penyelidikan yang sama.

“Oleh itu, di platform ini, kami menghubungkan untuk memastikan semua orang berkongsi data supaya mereka dapat mengelak penyelidikan yang bertindih,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )