Mesyuarat MT UMNO bincang perkukuh parti hadapi PRU15
KUALA LUMPUR,. Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO malam tadi membincangkan mengenai usaha untuk memperkukuhkan parti bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15).
Ahli MT Datuk Seri Bung Moktar Radin memaklumkan perkara itu ketika ditemui pemberita selepas mesyuarat yang berlangsung kira-kira dua jam itu selesai.
“Mesyuarat tak bincang perkara tidak penting… kita bincang untuk memperkuatkan parti. Parti kuat, kita menang,” katanya.
Mesyuarat berkenaan yang dipengerusikan Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi dan dihadiri Perdana Menteri yang juga Naib Presiden Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob dan dua Naib Presiden Datuk Seri Mahdzir Khalid dan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin serta barisan ahli MT.
Mengulas lanjut, Bung Moktar berkata mesyuarat juga tidak membincangkan mengenai tarikh pilihan raya dan menegaskan ia adalah hak Perdana Menteri.
Mohamed Khaled pula hanya menjawab “solidariti” ketika ditanya mengenai apakah agenda yang dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan.
Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan menerusi hantaran di laman Twitter berkata tiada kenyataan media dikeluarkan selepas mesyuarat MT pada malam tadi, namun mungkin dikeluarkan hari ini.
Menurutnya berita berkaitan UMNO sudah banyak disiarkan semalam selepas Taklimat Khas Presiden UMNO yang diadakan sebelah petangnya di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia (WTC), di sini.
“Mesyuarat telah berjalan dengan baik, bermula jam 9 malam dan berakhir sekitar jam 11.15 malam,” katanya.
— BERNAMA