
Mesyuarat MT UMNO ditangguh Selasa depan
PONTIAN, 16 Okt — Mesyuarat Majlis Tertinggi (MT) UMNO yang sepatutnya berlangsung esok secara sidang video ditangguhkan sehingga Selasa depan dan akan diadakan secara bersemuka di satu lokasi di Pahang.
Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan berkata mesyuarat ditangguhkan setelah mengambil kira kehendak ahli MT yang ingin melakukan perbincangan secara bersemuka dan bukan menerusi sidang video.
“Sepatutnya esok mesyuarat (MT) dilakukan secara sidang video tetapi tidak sesuai dan tidak puas dan ada yang mahu dilakukan secara live (bersemuka).
“Jadi mesyuarat akan dibuat di lokasi terdekat untuk berkumpul… di Pahang pada pukul 3 petang tetapi lokasinya saya tidak dapat dedahkan dahulu,” katanya kepada pemberita di sini, hari ini.
Beliau turut menjelaskan mesyuarat terbabit perlu diadakan di luar Kuala Lumpur, Selangor dan Putrajaya berikutan Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) yang sedang dikuatkuasakan di kawasan berkenaan.
Antara yang akan dibincangkan dalam mesyuarat berkenaan termasuk keputusan Biro Politik UMNO yang dibuat pada Selasa lepas.
Semalam, Ahli MT UMNO Datuk Seri Tajuddin Abdul Rahman mengesahkan mesyuarat MT UMNO dijadualkan Sabtu ini akan diadakan secara dalam talian berikutan pandemik COVID-19.
— BERNAMA