Mesyuarat Muafakat Nasional mungkin beri gambaran hala tuju kerjasama dengan Bersatu

KUALA LUMPUR, 16 Okt — Hala tuju mengenai bentuk kerjasama antara UMNO, Bersatu dan PAS dijangka diketahui apabila Muafakat Nasional (MN) duduk semeja, Isnin ini.

Setiausaha Agung Bersama Sekretariat Muafakat Nasional (MN) Tan Sri Annuar Musa melalui ciapannya di Twitter berkata beliau gembira apabila mendapat tahu wakil ketiga-tiga parti itu sudah pun memulakan rundingan.

“Insya-Allah Isnin ini MN bermesyuarat… kita doakan segalanya dipermudahkan Allah,” katanya.

Beliau berkata mesyuarat MN yang terdiri daripada UMNO dan PAS itu akan diadakan dalam semangat kekeluargaan.

Sementara itu, Setiausaha Agung UMNO Datuk Seri Ahmad Maslan ketika ditanya lebih lanjut mengenai mesyuarat berkenaan berkata “di dalam jadual saya mesyuarat itu akan diadakan pada waktu malam”.

Ketika dihubungi Bernama, beliau bagaimanapun enggan mendedahkan secara terperinci lokasi dan waktu mesyuarat itu dijadualkan berlangsung.

“Saya salah seorang anggota dalam MN… kalau tiada sesiapa membawa agenda untuk mendaftarkan MN sebagai gabungan yang sah seperti mana yang dibincangkan dalam mesyuarat Biro Politik UMNO dua hari lepas, maka saya akan bangkitkan cadangan itu.

Bagaimanapun, hal dan agenda lain yang akan dibincangkan dalam mesyuarat itu saya serahkan kepada Tan Sri (Annuar),” kata Ahmad Maslan.

Bagaimanapun, usaha menghubungi wakil PAS untuk mendapatkan maklumat mengenai agenda mesyuarat itu tidak berhasil setakat ini.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )