Metronic bekerjasama dengan Joysbio bangunkan kit ujian COVID-19

Metronic bekerjasama dengan Joysbio bangunkan kit ujian COVID-19

KUALA LUMPUR, 2 Feb — Anak syarikat Metronic Global Bhd, Metronic Medicare Sdn Bhd menandatangani perjanjian penyelidikan dan pembangunan (R&D) dengan Joysbio (Tianjin) Biotechnology Co Ltd bagi program penyelidikan kit ujian antibodi peneutralan COVID-19.

Ketua Pegawai Eksekutif dan Pengarah Eksekutif Metronic Hoo Wai Keong berkata Metronic akan melabur jumlah maksimum sebanyak US$2 juta (RM8.09 juta) yang mana US$1 juta (RM4.04 juta) merupakan bayaran awal untuk dana permulaan dalam tempoh R&D selama 12 bulan.

“Menurut perjanjian itu, Joysbio memberikan Metronic lesen kekal dan bebas royalti untuk menggunakan harta intelektual Joysbio sebelum perjanjian itu. Kedua-dua pihak telah bersetuju berkongsi royalti untuk harta intelektual yang diperoleh kedua-dua pihak semasa perjanjian R&D berkenaan,” kata Hoo dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata kapasiti pengeluaran Joysbio adalah satu juta kit ujian sehari, menjadikannya sebagai pengeluar kit ujian terbesar di China.

“Selepas kami menyempurnakan R&D dan mendaftarkan paten, kami akan menjadi pembekal tunggal dunia bagi kit ujian ini. Kami menjangka kit ujian ini akan berupaya membantu orang ramai memeriksa tahap keimunan COVID-19 mereka selepas pemvaksinan,” kata Hoo.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This