MIDA gesa peserta industri minyak sawit mohon DISF Industry4WRD

MIDA gesa peserta industri minyak sawit mohon DISF Industry4WRD

KUALA LUMPUR,. Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) menggesa peserta industri minyak sawit Malaysia supaya memohon Dana Strategik Pelaburan Tempatan (DISF) Industry4WRD.

Pengarah Eksekutif Pembangunan Pembuatan (Sumber), Mohamad Ismail Abu Bakar berkata MIDA komited untuk membantu syarikat dalam industri itu terutama yang terlibat dalam rantaian nilai hiliran.

“Beberapa bidang yang kita sasarkan adalah oleokimia, produk berasaskan makanan seperti minyak masak serta fitonutrien yang boleh dijadikan sebagai makanan tambahan,” katanya semasa taklimat secara maya mengenai insentif dan geran yang tersedia untuk industri minyak sawit Malaysia hari ini.

Ia dianjurkan oleh Persatuan Penapis Minyak Sawit Malaysia (PORAM).

DISF Industry4WRD diperkenalkan menerusi Belanjawan 2019 untuk membantu syarikat-syarikat yang menjalani program Penilaian Kesediaan Industry4WRD untuk beralih kepada Revolusi Perindustrian Keempat (IR4.0).

Penilaian itu bertujuan menentukan kemampuan dan kesediaan kalangan syarikat untuk menerima guna teknologi IR4.0.

“Syarikat berkenaan perlu menerima guna sekurang-kurangnya satu tonggak teknologi IR4.0 seperti pengkomputeran awan, analisis data raya dan kecerdasan buatan,” katanya.

Mohamad Ismail berkata 40 peratus daripada geran akan ditanggung oleh syarikat manakala bakinya akan disubsidikan oleh kerajaan.

Beliau berkata geran tersebut adalah untuk aktiviti penyelidikan dan pembangunan, latihan serta memperoleh piawaian dan pensijilan antarabangsa.

Syarikat perlu mempunyai pemilikan ekuiti Malaysia sekurang-kurangnya 60 peratus untuk layak, katanya.

Beliau berkata syarikat boleh mengemukakan permohonan sehingga 31 Dis, 2021.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This