MIDF Research unjur KDNK tumbuh 4.9% pada 2019

MIDF Research unjur KDNK tumbuh 4.9% pada 2019

KUALA LUMPUR,. MIDF Research mengunjurkan Keluaran Dalam Negara Kasar Malaysia (KDNK) tumbuh pada kadar 4.9 peratus tahun ke tahun pada 2019, berikutan permintaan dan pemulihan yang kukuh dalam negara bagi sektor berasaskan komoditi.

Dalam notanya, firma penyelidikan itu berkata ia juga menjangkakan sektor perkilangan terus berkembang pada separuh kedua tahun ini, walaupun pada kadar sederhana, susulan penurunan dalam Indeks Pengurus Pembelian Pembuatan (IPP) IHS Markit Malaysia turun kepada 47.4 pada Ogos 2019 berbanding 47.6 pada Julai.

Walaupun IPP yang lemah, penambahan pekerjaan serta peningkatan keyakinan, mencadangkan unjuran yang lebih baik pada masa depan, manakala Indeks Kecenderungan Perniagaan bagi sektor perkilangan yang dikeluarkan bulan lalu, menunjukkan keyakinan berada pada tahap tertinggi dalam tempoh tiga bulan.

“Malah, KDNK sektor perkilangan berkembang 4.3 peratus tahun ke tahun pada suku kedua tahun ini, meningkat sedikit daripada suku pertama, yang menunjukkan momentum menaik,” katanya.

Sementara itu, Ambank Research menjangkakan unjuran pertumbuhan KDNK 2019 yang lebih lemah berdasarkan bacaan IPP yang lemah pada Julai dan Ogos, yang menunjukkan ekonomi yang lembap pada suku ketiga.

“Unjuran awal kami mencadangkan bahawa ekonomi boleh berkembang sekitar 4.6 peratus tahun ke tahun,” katanya. – BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This