Minat terhadap muzium sebagai destinasi pelancongan menampakkan peningkatan ketara

Minat terhadap muzium sebagai destinasi pelancongan menampakkan peningkatan ketara

KUCHING: Minat orang ramai terhadap muzium sebagai destinasi pelancongan yang mesti dikunjungi menampakkan peningkatan ketara, ini dibuktikan dengan kejayaan Muzium Budaya Borneo (MBB) menarik lebih 760,000 pengunjung sejak ia dibuka Mac 2022.

Menteri Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan Dato Sri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata, MBB yang merupakan mercu tanda tidak hanya berjaya menarik kunjungan pelancong domestik tetapi antarabangsa.

“Sebagai menteri bertanggungjawab kepada pelancongan, saya sangat gembira. Mereka yang datang melawat ke sini juga sangat gembira melihat apa yang dipamerkan di sini (MBB),” katanya ketika berucap pada Majlis Perasmian Hari Muzium Antarabangsa 2023 di MBB hari ini.

Majlis itu disempurnakan Premier Sarawak Datuk Patinggi Tan Sri Abang Johari Tun Openg dan turut dihadiri Menteri Perpaduan Negara Datuk Aaron Ago Dagang.

Menurut Abdul Karim sekurang-kurang 50,000 pelawat dijangka mengunjungi Muzium Budaya Borneo sepanjang sambutan Hari Muzium Antarabangsa 2023 yang dijadual bermula semalam (Isnin) hingga 5 Ogos.

Beliau percaya, sambutan yang berpusat di MBB akan menarik minat pelajar baik dari sekolah kerajaan mahupun swasta termasuk institusi, persatuan, pertubuhan bukan kerajaan (NGO) pelancongan domestik dan antarabangsa begitu juga dengan komuniti setempat.

Menteri Belia, Sukan dan Pembangunan Usahawan itu menambah, Kerajaan Sarawak sama ada di peringkat Kementerian Pelancongan, Industri Kreatif dan Seni Persembahan atau agensi melihat sambutan Hari Muzium Antarabangsa kali ini sebagai acara penting dalam kalendar tahunan pelancongan serta bekerja keras memastikan penganjurannya memberi impak positif kepada komuniti muzium dan pelawat.

“Hari Muzium Antarabangsa adalah tanda penghargaan untuk institusi dan meraikan peranan dimainkan oleh setiap pihak dalam mengurus khazanah dan warisan.

“Selain itu, sambutan ini bertujuan meningkatkan kesedaran komuniti tentang pentingya peranan muzium,memupuk minat orang ramai berkunjung ke muzium pada masa sama menghargai harta pusaka dan warisan budaya,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai sambutan kali ini, Abdul Karim berkata sebanyak 34 reruai pameran dibuka yang disertai 31 muzium dari seluruh Malaysia dan satu dari Indonesia.

Selain itu katanya, pelbagai aktiviti diadakan antaranya Dapur Warisan Sarawak, persembahan kebudayaan, bengkel, seminar dan forum yang sudah tentu menjadi pengalaman unik kepadasemua pengunjung.

Sambutan Hari Muzium Antarabangsa dianjurkan bersama oleh Jabatan Muzium Malaysia dan Jabatan Muzium Sarawak dengan sokongan Kementerian Perpaduan Negara, bertemakan ‘Muzium, Kelestarian dan Kesejahteraan.

-Agensi

CATEGORIES
Share This