Minggu Integriti beri kesedaran kepada penjawat awam

Minggu Integriti beri kesedaran kepada penjawat awam

PAPAR: Minggu Integriti dilaksanakan bagi memberi kesedaran semula kepada penjawat awam bahawa penting dan perlunya mempunyai integriti dalam diri ketika dalam pelaksanaan tugasan serta tanggungjawab.

Pembantu Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan, Datuk Isnin Aliasnih berkata, integriti dalam kalangan penjawat awam adalah suatu yang penting dalam memastikan seseorang itu bertindak secara amanah, penuh bertanggungjawab, tidak melibatkan konflik peribadi dalam membuat sebarang tindakan atau keputusan, sentiasa ada sifat telus, akauntabiliti yang tinggi dan sentiasa bersandarkan kepada undang-undang serta peraturan sedia ada.

“Oleh itu, elemen-elemen amalan baik berteraskan nilai murni yang telah digariskan dalam Pelan Antirasuah Organisasi Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan 2021-2025 perlu dihayati dan diamalkan oleh semua pihak, terutamanya penjawat awam.

“Sehubungan dengan itu, integriti sewajibnya menjadi pegangan kukuh setiap daripada kita.

“Integriti ini bukan sahaja wajar menjadi amalan dan pakaian kita secara peribadi, sebaliknya mesti diamalkan oleh setiap individu di dalam organisasi.

“Hal ini adalah sangat penting kerana apabila kita mempunyai kesedaran, percaya serta menjadikan integriti sebagai amalan seharian, maka akan wujudlah satu persekitaran kondusif untuk pembudayaan nilai integriti dalam organisasi kita.

“Jika ini berlaku, impaknya amat signifikan sekali. Antara lain yang akan terhasil adalah keberkesanan dan kecekapan dalam sistem penyampaian kita dan seterusnya akan meningkatkan produktiviti organisasi kita,” katanya ketika merasmikan Majlis Penutupan Minggu Integriti Kementerian (MIK) 2024 Kementerian Kerajaan Tempatan dan Perumahan di Dewan Terbuka Pantai Manis, di sini, pada Sabtu.

Hadir sama Setiausaha Tetap, Datuk Dr. Jamili Nais.

Beliau berkata, pelaksanaan Minggu Integriti itu merupakan salah satu inisiatif yang menyumbang kepada pemantapan pengurusan Governans, Integriti dan Antirasuah.

“Selain itu, usaha ini adalah selaras dengan aspirasi Ketua Menteri agar Sabah menjadi pelopor, peneraju dan penanda aras dalam pengurusan Governans, Integriti dan Antirasuah di Malaysia,” katanya.

-TND

CATEGORIES
Share This