Misi bantuan banjir ‘rezeki terpijak’ pesakit jantung

Misi bantuan banjir ‘rezeki terpijak’ pesakit jantung

KUANTAN,. Misi menghantar bantuan banjir oleh Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Saifuddin Abdullah di sekitar Kuantan semalam, menjadi ‘rezeki terpijak’ kepada keluarga kanak-kanak penghidap sakit jantung, apabila konvoi itu berhenti berhampiran rumahnya.

Ibu kepada Muhammad Faqish Aryan Khairy Aswan, Nurulsyaza A Ghani, 29, berkata dia hanya melihat dari jauh deretan kereta yang berhenti kira-kira 200 meter dari rumahnya di Kampung Bukit Rangin di sini, dan beranggapan ia hanyalah kumpulan menghantar bantuan kerana kawasan itu dinaiki air pada Isnin lepas.

“Ada orang memberi salam dan bila dijenguk ia adalah YB (Ahli Parlimen) Indera Mahkota (Saifuddin). Beliau bertanya mengenai banjir dan saya beritahu kami tidak berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) kerana hanya terkepung selain bimbang keadaan anak sebagai pesakit jantung, adalah kumpulan berisiko wabak COVID-19.

Kami tak mahu bersesak di PPS kalau untuk ke rumah orang tua di Bukit Goh di sini, sukar pula hendak ke hospital jika Faqish tidak sihat pada waktu malam menyebabkan suami menyediakan bot dan siap-siap meletakkan kereta di simpang jalan masuk,” katanya kepada Bernama di sini, semalam.

Suri rumah itu menambah, Saifuddin apabila dimaklumkan bahawa Faqish, enam tahun, yang dikesan menghidap penyakit jantung berlubang pada usia tiga bulan perlu ke Institut Jantung Negara (IJN) bagi menjalani pemeriksaan 14 Januari ini, terus memberitahu akan membantu menguruskan perjalanan mereka ke sana.

Nurulsyaza menyifatkannya sebagai rezeki kerana beliau sebenarnya masih berkira-kira bagaimana mahu ke IJN kerana suaminya, Khairy Aswan Bahari, 38, yang bekerja sebagai buruh perlu ke Cameron Highlands hari ini kerana dimaklumkan terdapat peluang kerja membaiki jalan dengan gaji harian.

Sementara itu, Saifuddin yang juga Ketua Majlis Pimpinan Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) Pahang berkata, beliau bersetuju menanggung kos pe-nerbangan bagi Nurulsyaza dan anaknya pada 13 Januari, kerana bimbang jika jalan untuk ke Kuala Lumpur masih belum dibuka seandainya banjir berpanjangan.

“Kita tidak mahu mereka terlepas janji temu yang pen-ting. Jika Lebuhraya Pantai Timur Fasa 1 belum dibuka, mereka terpaksa mencari laluan alternatif seperti melalui Bahau, Negeri Sembilan yang jauh dan merenyahkan terutamanya kepada Faqish yang masih kecil untuk berada lama dalam kereta,” katanya.

Mengulas mengenai misi bantuan itu, Saifuddin yang turut meredah air untuk bertemu mangsa banjir, memaklumkan barangan keperluan asas itu bukan hanya diberikan kepada mangsa dalam Parlimen Indera Mahkota tetapi turut diagihkan kepada Parlimen Kuantan dan Paya Besar.

Katanya, misi bantuan dijalankan oleh Pejabat Parlimen Indera Mahkota dan BERSATU Paya Besar yang diketuai Ketua Bahagiannya Mohd Yazid Mohd Yunus.

“BERSATU Pahang sudah turun padang sejak awal bagi membantu mangsa banjir dan gerak kerja kita akan dipergiatkan bagi tugasan pasca banjir kerana pada waktu itu, banyak lagi kerja yang perlu dilakukan seperti membersihkan kesan banjir,” katanya.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )