Misi Kemudi Sabah Kembali Ke Landasan Betul – Musa Aman

KOTA KINABALU,. Gabungan 33 Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sabah yang mewakili parti-parti politik dalam Dewan Undangan Negeri Ke-15 dikatakan kekal teguh dalam perjuangan bagi menegakkan kebenaran dan keadilan.

Bekas Ketua Menteri Sabah Tan Sri Musa Aman berkata penting untuk mereka kekal bersatu dan teruskan perjuangan dalam misi untuk mengemudi Sabah kembali ke landasan betul.

“Kami amat berharap bahawa mahkamah akan membenarkan semakan kehakiman terhadap keputusan TYT membubarkan Dewan Undangan Negeri Sabah kerana kami percaya beliau telah diberikan nasihat yang salah,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Musa berkata laporan diterbitkan pada Ogos 2020 oleh Jabatan Perangkaan Malaysia menunjukkan Keluaran Dalam Negeri Kasar (KDNK) Sabah mencatatkan paras terendah 0.5 peratus pada 2019 dan ini membuktikan Parti Warisan Sabah (Warisan) pimpinan Datuk Seri Mohd Shafie Apdal telah gagal membangunkan negeri itu dan menjaga kebajikan rakyat.

“Kadar pengangguran 5.8 peratus (terburuk dalam tempoh 20 tahun lepas), bermakna lebih 117,000 penduduk Sabah menganggur dan berasa bimbang semasa mereka memasuki tahun 2020 awal tahun ini.

“Dengan kata mudah, angka itu menunjukkan banyak rakyat Sabah telah hilang kerja, tidak ada pendapatan dan bergelut untuk menampung perbelanjaan keluarga. Ini tidak boleh diterima,” katanya.- BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )