Misi perdagangan Malaysia ke Perancis jana pelaburan berpotensi RM2.6 bilion

Misi perdagangan Malaysia ke Perancis jana pelaburan berpotensi RM2.6 bilion

KUALA LUMPUR,. Misi perdagangan dan pelaburan terkini ke Perancis berjaya menjana jumlah potensi pelaburan bernilai RM2.6 bilion dan RM300 juta nilai potensi eksport, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI).

Ini membuktikan kejayaan usaha Malaysia yang berterusan dalam menarik pelaburan berkualiti dan meningkatkan penyertaan syarikat tempatan dalam rantaian bekalan global bernilai tinggi, menurut kementerian itu.

“Minat yang tinggi yang ditunjukkan oleh syarikat Perancis dalam misi itu menjadi pemangkin utama untuk meningkatkan hubungan perdagangan dan pelaburan dua hala, terutamanya dalam bidang yang menyokong agenda mampan dan hijau yang disokong oleh kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Misi ke Perancis, yang berlangsung dari 15-17 Oktober, 2021, diterajui oleh MITI dan Menteri Kanan Datuk Seri Mohamed Azmin Ali. Antara lain delegasi Malaysia turut mengadakan sesi bersemuka dengan syarikat Perancis, terutamanya Airbus, Saint-Gobain, Adisseo Group, Prolaser dan Innovafeed.

Pada sesi itu, syarikat Perancis menunjukkan minat yang tinggi untuk terus menjadikan Malaysia sebagai rakan perniagaan mereka dalam sektor aeroangkasa, bioteknologi, kimia maju, peranti perubatan, produk halal dan pembinaan, menurut kementerian itu.

Menurut kenyataan tersebut, Mohamed Azmin turut mengadakan pertemuan dua hala dengan Menteri Perwakilan Perdagangan Luar Negeri dan Daya Saing Ekonomi, Franck Riester, di Paris.

Dalam pertemuan itu, Mohamed Azmin menekankan peluang dalam sektor teknologi hijau Malaysia yang sedang berkembang dan keupayaan pemain industri Malaysia dalam sektor bernilai tinggi ini.

Kedua-dua menteri mengadakan perbincangan mengenai topik yang mempunyai kepentingan bersama, termasuk strategi pemulihan ekonomi dalam fasa endemik, meneruskan pembaharuan di Pertubuhan Perdagangan Dunia (WTO), memanfaatkan kedudukan Malaysia dalam perjanjian Perkongsian Ekonomi Komprehensif Serantau (RCEP) mega serta peluang pelaburan dan komersial dalam tenaga boleh baharu.

Delegasi Malaysia turut menyambut baik minat baharu Perancis terhadap rantau Asia Tenggara, termasuk Malaysia dan melihat perkembangan baharu ini sebagai landasan untuk terus mengukuhkan hubungan antara kedua-dua negara.

Delegasi itu mengalu-alukan minat Perancis yang semakin meningkat terhadap rantau ini berikutan republik itu akan mengambil alih jawatan pengerusi Majlis Kesatuan Eropah pada separuh pertama 2022.

Mohamed Azmin turut menyaksikan pemeteraian Memorandum Persefahaman (MoU) antara Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan Mouvement des Enterprises de France (MEDEF) International.

Kerjasama strategik antara MIDA dan MEDEF International akan melengkapkan Aspirasi Pelaburan Nasional (NIA) Malaysia melalui kerjasama yang ditingkatkan bertujuan untuk memudahkan ekosistem industri negara dengan infrastruktur pemangkin dan teknologi baharu.

— Bernama

CATEGORIES
TAGS
Share This