Model Baharu Pembangunan Belia 2030 dilancar Mac 2022

Model Baharu Pembangunan Belia 2030 dilancar Mac 2022

KUALA LUMPUR,. Model Baharu Pembangunan Belia (MBPB) 2030 bakal dilancarkan pada Mac tahun depan bagi mempergiat usaha membangunkan belia secara berterusan sekali gus melahirkan Masyarakat 5.0 di negara ini, kata Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Katanya, model berkenaan dibangunkan berdasarkan kepada aspirasi dan suara anak muda untuk pemerkasaan belia bagi tempoh 10 tahun ke hadapan.

“Apabila dilaksanakan kelak, MBPB2030 ini bakal memberi manfaat kepada golongan belia termasuk dalam meningkatkan sosioekonomi melalui peluang dan penciptaan pekerjaan, pendidikan dan kemahiran masa depan.

“Selain itu, ia akan memperkukuhkan lagi sistem sokongan belia khususnya hubungan dengan keluarga, masyarakat dan agensi kerajaan dalam usaha melahirkan warganegara belia yang lebih yakin dan aktif selain berdaya tahan menghadapi cabaran,” katanya ketika berucap pada Majlis Sambutan Hari Belia Negara 2021 Peringkat Kebangsaan di sini hari ini.

Turut hadir Menteri Belia dan Sukan Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu, Menteri Wilayah Persekutuan Datuk Seri Dr Shahidan Kassim, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rina Mohd Harun dan Presiden Majlis Belia Malaysia Jufitri Joha.

Ismail Sabri berkata Masyarakat 5.0, iaitu sebuah masyarakat yang dapat menguasai kehidupan di alam maya dan alam fizikal, yang dihasratkan negara bukanlah semata-mata generasi pintar mengendali dunia digital tetapi bijak juga beradaptasi, dengan teknologi perlu berperanan sebagai nilai tambah kepada entiti murni bidang agama, budaya, adat resam dan adab santun Keluarga Malaysia.

“Saya berkeyakinan tinggi terhadap keupayaan warga belia dalam menyahut cabaran ini, lantaran data menunjukkan sebilangan besar telah pun berada di tahap Belia 4.0. Pada tahap ini, belia sudah berfikiran analitikal, berpendekatan inovatif, berkemahiran teknologi dan menekankan budaya kreatif,” katanya.

Katanya, pada masa sama, kerajaan bersama Kementerian Belia dan Sukan (KBS) akan terus mempergiat usaha agar Masyarakat 5.0 segera tercapai menerusi pelbagai inisiatif yang telah digariskan termasuk melalui Rangka Tindakan Ekonomi Digital Malaysia (MyDIGITAL), Dasar Revolusi Perindustrian Keempat (IR 4.0) dan Pelan Jalinan Digital Negara (JENDELA).

Ismail Sabri berkata kerajaan juga akan terus merancakkan penyediaan infrastruktur, perkhidmatan digital dan pasaran kerjaya kepada seluruh Keluarga Malaysia, khususnya warga belia.

Beliau berkata inisiatif ini dikenal pasti berupaya merapatkan jurang digital dan merancakkan pertumbuhan sektor ekonomi semasa.

Ismail Sabri juga berkata kerajaan akan terus meningkatkan semangat kesukarelawan dan melestarikan kesejahteraan mental pada era pascapandemik COVID-19, misalnya menerusi kempen Mental Health Matters dan program Rakan Muda Comfort Room serta Young Mind yang menyasarkan lebih 1,000 Kaunselor Muda sebagai pelatih.

Dalam majlis itu, Perdana Menteri turut menyampaikan Anugerah Perdana Belia Negara (APBN) bagi beberapa kategori kepada Aiman Hafizi Abu Bakar (Anugerah Khas), Mohamad Shafizal Mohamad Shafee (Anugerah Emas Remaja Perdana) dan Ammielyya Jusnieza Ahmad Jafri (Individu Wanita).

Anugerah turut disampaikan kepada Mohd Adib Anas Md Noor (Individu Lelaki) dan Persatuan Belia Felda Jerangau, Terengganu bagi kategori Pertubuhan Belia.

Hari Belia Negara biasanya disambut pada 15 Mei setiap tahun tetapi tahun ini, sambutan secara fizikal terpaksa ditangguhkan berikutan penularan pandemik COVID-19.

Sambutan tahun ini bertemakan Dekad Ini Dekad Anda, sebagai lambang pengiktirafan kerajaan kepada sumbangan, komitmen, daya usaha, daya bangkit dan kecemerlangan belia.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This