Moderna: Vaksin COVID-19 kedua diguna di Singapura

Moderna: Vaksin COVID-19 kedua diguna di Singapura

Oleh Massita Ahmad

SINGAPURA, 3 Feb — Penguasa Sains Kesihatan (HSA) Singapura hari ini memberi kelulusan sementara bagi vaksin COVID-19 keluaran Moderna, sebagai vaksin kedua digunakan di negara itu.

Kebenaran sementara di bawah Laluan Akses Khas Pandemik (PSAR) itu bagi memudahkan akses awal kepada vaksin, ubat-ubatan dan alat perubatan kritikal awal semasa pandemik.

“Rejim vaksinasi yang dikemukakan oleh Moderna memerlukan dua dos vaksin disuntik 28 hari selepas dos pertama diberikan,” menurut HSA dalam satu kenyataan yang dikeluarkan di sini hari ini.

HSA memaklumkan semakannya terhadap data klinikal sedia ada mendapati bahawa manfaat vaksin COVID-19 Moderna melebihi risiko yang diketahui dan menunjukkan tahap keberkesanan yang tinggi sebanyak 94 peratus.

Sementara itu, menurut Kementerian Kesihatan republik itu, bekalan pertama vaksin Moderna dijangka tiba Mac 2021, “jika tidak ada gangguan penghantaran.”

“Kami akan secara beransur-ansur melancarkan vaksin COVID-19 Moderna untuk individu berumur 18 tahun ke atas apabila vaksin diperoleh,” menurut kementerian itu dalam kenyataan berasingan.

Vaksin Pfizer-BioNTech adalah vaksin COVID-19 pertama yang digunakan di Singapura dengan penghantaran pertama tiba pada 21 Dis lepas.

Menurut kementerian itu, setakat 2 Feb, lebih 175,000 individu telah menerima dos pertama vaksin Pfizer-BioNTech di sini.

Kira-kira 6,000 daripada mereka juga telah menerima dos kedua yang melengkapkan rejimen vaksinasi, jelas kementerian itu.

Vaksin Pfizer-BioNTech memerlukan dua dos suntikan, 21 hari selepas dos pertama pada individu berumur 16 tahun ke atas kecuali wanita hamil dan mereka yang lemah daya tahan tubuh.

— BERNAMA

CATEGORIES
Share This