Mohd Shafie cadang Toyota buka kilang di Sabah

Mohd Shafie cadang Toyota buka kilang di Sabah

KOTA KINABALU,. Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mencadangkan supaya syarikat automotif terkemuka Jepun, Toyota Motor Corporation (Toyota), membuka kilang pemasangan komponen automotifnya di negeri ini.

Beliau berkata langkah tersebut akan mengukuhkan pasaran Toyota di Borneo memandangkan ibu negara Indonesia akan berpindah ke Kalimantan Timur, dan dalam pada itu Sabah akan menerima manfaat peluang pekerjaan untuk rakyatnya serta limpahan ekonomi.

Cadangan itu dikemukakan beliau semasa pertemuannya dengan beberapa peneraju industri automotif selepas menghadiri seminar Peluang Perniagaan di Malaysia sempena misi pelaburan di Nagoya, Jepun hari ini.

“Kita juga menjadi pengguna kereta yang mereka keluarkan. Kita perlu melihat apa potensi untuk kita manfaatkan kerana ada jenis kereta yang mereka eksport dan keluarkan diperlukan di negara kita.

“Jadi untuk pastikan cadangan projek ini mampan, kita cadangkan kerjasama dengan mereka, sama ada menerusi pemasangan atau kita jadi pengeluar, contohnya bagi kenderaan pacuan empat roda yang diperlukan berdasarkan keadaan jalan di Sabah, Sarawak dan Kalimantan,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan Jabatan Ketua Menteri di sini.

Menurut kenyataan itu, selain pertemuan dengan wakil industri automotif, Mohd Shafie turut mengadakan mesyuarat tertutup bersama WADA Aircraft Technology Co. Ltd, syarikat antarabangsa Jepun yang terlibat dalam industri aeroangkasa.

Terdahulu dalam seminar berkenaan, beliau menyampaikan ucaptama dan menjawab soalan daripada peserta yang terdiri 142 ahli perniagaan dan pelabur dari Jepun.

Menjawab satu soalan yang dikemukakan ahli perniagaan yang hadir, Mohd Shafie berkata antara sektor yang menjadi pilihan Sabah bagi tujuan kerjasama dengan syarikat Jepun adalah penghasilan perabot kerana negeri ini mempunyai sumber kayu-kayan yang cukup.

Beliau berkata Sabah bagaimanapun tidak lagi mengeksport balak, justeru syarikat dari Jepun boleh membuka kilang di Sabah dengan jaminan kerajaan bahawa sumber kayu akan dibekalkan sepanjang masa mengikut permintaan.

“Saya percaya Jepun mengimport kayu getah dari Malaysia khasnya Sabah, kami ada 72,843 hektar tanah yang ditanam dengan pokok getah. Anda boleh hasilkan perabot daripada kayu ini. Jelas, kami begitu dekat dengan industri anda tetapi saya berharap anda buka kilang di Sabah, kita boleh bekerjasama rapat dan tenaga kerja juga tersedia,” katanya.

Beliau turut memberi komitmen bahawa kerajaan negeri akan menyokong perniagaan mereka termasuk mempercepatkan kelulusan dalam tempoh 24 jam kepada mana-mana syarikat Jepun yang melabur di Sabah berdasarkan syarat-syarat yang ditetapkan.

“Kami ada dasar dan instrumen iaitu memberi kelulusan untuk apa sahaja pelaburan masuk ke Sabah dalam tempoh 24 jam sekiranya anda menepati syarat seperti Kajian Impak Alam Sekitar dan keperluan lain,” katanya.

— BERNAMA

CATEGORIES
TAGS
Share This

COMMENTS

Wordpress (0)
Disqus ( )